Saturday, May 2, 2009

LU FIKIRLAH SENDIRI......

ULAMA ATAU PROFESIONAL - TIDAK MERBAHAYA KEPADA DAKWAH DAN JEMAAH : YANG MERBAHAYA ADALAH GOLONGAN YANG "PERASAN ULAMA" DAN "PERASAN PROFESIONAL"

Salam......

Semua pihak baik PAS atau GEROMBOLAN sibuk bercakap soal pemilihan pimpinan PAS yang bakal berlangsung pada Muktamar PAS ke 55 nanti.

Ada kumpulan yang kelihatan seperti pro-ulama dan ada kumpulan yang kelihatan pro-profesional. Ada juga kumpulan yang pro-profesional tetapi mahukan profesional yang pro-ulama.

Semua ini hanya sekadar memeningkan kepala sahaja sebenarnya. Hakikatnya, jemaah PAS yang kita sayangi ini telah menghidap suatu penyakit yang virusnya sama spesis dengan virus yang menjangkiti GEROMBOLAN. Virus sebeginilah yang membuatkan GEROMBOLAN sedang menuju ke kubur sekarang nih.

Jika dulu, jarang sekali kita mendengar perebutan atau pertelingkahan merebut jawatan yang seperti ini. Dulu semua yang kita buat adalah demi Islam, demi dakwah. Kenapa sekarang lain benar bunyi dan tingkahnya?

Adakah ini tipu daya kemenangan? Adakah ini ujian daripada Alah swt untuk menyedarkan kita bahawa kita semakin jauh daripada matlamat dakwah yang sebenarnya?

Sebelum ini, ramai di kalangan kita yang berpendirian bahawa kemenangan ini adalah anugerah daripada Allah swt di atas kesungguhan perjuangan kita. Namun, jika kita teliti, kemenangan ini sebenarnya lebih kepada ujian daripada Allah swt kepada kita untuk menilai sama ada kita akan menjadi seperti GEROMBOLAN atau kita tetap PAS walaupun kemenangan sudah dekat.

hakikatnya, kita dah jadi sama macam GEROMBOLAN yang sibuk merebut itu dan ini. Sibuk berbincang tentang pihak manakah yang lebih banyak menyumbang bagi mencapai kemenangan ini.

Pihak yang paling banyak bercakap tentang hal ini pula adalah golongan yang "perasan ulama" dan golongan yang "perasan profesional". Malangnya, yang menerima tempias kebusukan mulut mulut busuk ini pula adalah golongan ulama dan profesional yang kita semua tahu tentang betapa istiqamahnya mereka dengan perjuangan ini.


GOLONGAN "PERASAN ULAMA"

Golongan ini terdiri daripada beberapa kelompok dan setiap kelompok ini mempunyai pandangan yang tersendiri tentang jemaah dan dakwah.

Kelompok pertama, yang memang diketahui merupakan lulusan bidang pengajian Islam atau yang setaraf denganya tidak kira dari IPT tempatan, IPT luar negara mahupun institusi pondok.

Kelompok ini kebiasaannya merasakan diri mereka termasuk pandangan mereka adalah pandangan yang paling betul dan pandangan mereka tidak boleh dipertikaikan oleh ahli bawahan. Dengan berimejkan serban dan jubah, golongan ini tanpa segan silu akan melaungkan pelbagai slogan kononnya golongan ulamalah yang menghidupkan dan mempertahankan jemaah ini.

Kita amat bersetuju dengan laungan itu tetapi andakah golongan ulama yang dimaksudkan atau anda sekadar melaungkan slogan slogan itu sahaja?

Golongan ulama memang golongan yang paling tinggi kedudukannya di dalam jemaah ini. Persoalannya, adakah anda yang menjadikan amalan amalan syubhat sebagai amalan harian itu layak untuk memegang title ulama? Layakah anda yang solat waktu di penghujung waktu itu memegang title ulama? Layakah anda yang banyak kali tertinggal solat waktu itu untuk memegang title ulama?

Adakah serban besar dan jubah labuh yang anda amalkan itu sudah cukup untuk melayakkan anda memegang title ulama? Lu fikirlah sendiri.

Kelompok kedua pula adalah kelompok yang sentiasa memakai kopiah putih di atas kepala dan kebiasaannya pula yang dah lama berada dalam jemaah ini.

Kelompok itu juga akan bermatian matian akan bersuara kononnya membela golongan ulama tetapi hakikatnya pembelaan itu adalah untuk survival mereka sendiri. Selama ini golongan ini berjuang secara bermuka-muka iaitu rajin di depan pimpinan dan culas serta pemalas di belakang pimpinan. Bercakap berapi-rapi di dalam mesyuarat tapi hakikatnya tak pandai buat kerja pun.

Apabila angin pertukaran pimpinan mula bertiup kelompok ini akan bangun dan bersuara untuk mempastikan pimpina sedia ada itu kekal dan dipertahankan atas alasan itulah pimpinan yang paling pandai mentadbir dan paling banyak pengorbanannya kepada perjuangan ini.

Tepuk dada, tanya iman. Benarkah mempertahankan pimpinan sedia ada atau mempertahankan kedudukan sendiri supaya tidak turut tersembam ke tanah kerana tempat bergantung telah mula mereput?

kelompok inilah sebenarnya menjadi duri dalam daging dalam perjuangan ini. Mereka inilah sebenarnya yang menjadi liabiliti kepada jemaah ini.

Pahitkan? Cuba telan. Pasti akan jadi ubat.

Alhamdulilah, pimpinan pusat tidak begini. Penyakit ini hanya menjangkiti pimpinan peringkat negeri dan kawasan sahaja.

Kalau nak ulas hal nih, sampai esok pun tak habis. Aku stop kat sini dulu. Nak gerak ke Penanti jap. Kalau sempat, malam nanti ker, esok lusa ker, aku tulis pulak tentang golongan "perasan profesional".

Adios.

Thursday, April 30, 2009

Mi Celup


Saya diminta memberikan pendapat oleh beberapa orang berhubung tuduhan serius yang dilemparkan oleh anakanda Nik Abduh dalam blognya. Saya jarang mengunjung blog beliau dan oleh itu tertanya-tanya apakah tuduhan serius ini? Hari ini, diberikan kesempatan dan ruang masa oleh Allah, maka saya membaca postingnya yang bertajuk ‘kerja-kerja bodoh dalam pas’. Setelah selesai membacanya, saya memahami mengapa ada yang meminta saya mengulas.

Walaupun saya bukan ulama’ dan tidak pernah mengaku diri saya seorang ulama’ namun oleh kerana tulisannya menyentuh parti yang telah saya habiskan lebih separuh dari hidup saya di dalamnya, saya rasa saya berhak untuk memberi komen. Walaupun saya ini mungkinlah dianggap olehnya sebagai di antara ‘mi celup’ tersebut.

Untuk memudahkan semua, khususnya untuk mereka yang mi celup seperti saya, pendapat saya akan dikemukakan dalam bentuk point seperti di bawah.

1. Tuduhan Yang Dibuat
Saya sebenarnya terkejut dengan tuduhan yang dibuat. Pembantu-pembantu TGNA melagakan TGNA dengan TGHH? Kalau betul, kenapa tidak Nik Abduh beritahu perkara ini kepada ayahandanya sahaja? Apa? TGNA tak akan percaya? Hmmm... Kalau TGNA tak percaya, kenapa pula kita nak percaya? Semestinya TGNA lebih tahu samada tuduhan itu tepat atau sebaliknya. Apakah TGNA tak mampu memahami hujjah-hujjah yang dikemukakan yang begitu lantang mendoakan pembantu-pembantunya dibalas Allah atas kejahatan mereka? Samada TGNA tak mampu memahami atau ada hujjah disebaliknya yang tidak mampu Nik Abduh sendiri memahami? Saya rasa yang kedua adalah lebih tepat.

Kalau nak menuduh pun, bukan ini caranya. Takkan tuduh secara borong! Adakah semua pembantu-pembantu TGNAA yang jahat? Saya rasa kalau ditanya, ramai, mungkin separuh dari rakyat Kelantan, akan mengakui mereka pembantunya! Yang dimaksudkan sebagai pembantu ini pula pembantu yang macam mana? Yang pegawai kerajaan ke, yang pegawai parti ke, yang pemimpin parti ke? Yang kawan rapat ke? Dato’ Husam ke? Anual Bakri ke? Nik Amar ke? Yang mana satu? Atau kesemua mereka?

Tuduhan semberono macam ini bagi saya tidak bertanggung jawab dan mengundang fitnah. Hasil dari tuduhan ini akan wujud suasana syak wasangka dan saling tuduh menuduh di antara pembantu-pembantu yang entah mana satu. Itu kalau orang tak matang. Tetapi saya harap ahli PAS yang telah matang akan mampu melihat tuduhan ini sebagai tuduhan kosong yang tidak layak diberikan layanan. Tiada bukti yang dikemukakan kecuali andaian.

Sepatutnya, kalau nak tuduh, sebut siapa dan kemukakan bukti. Kalau belum ada bukti, usahakan cari. Sabar, bila ada bukti barulah kemukakan. Jangan buat kenyataan yang kurang matang yang mengundang fitnah.

Sebenarnya saya sendiri khuatir Nik Abduh yang diperalatkan untuk melaga-lagakan pemimpin-pemimpin dalam PAS, khususnya yang di negeri Kelantan. Cuba lihat kenyataannya, “Saya diberitahu daripada sumber yang diyakini, sesetengah pembantu ayahanda ini menyumpah seranah kerana kegagalan mereka mengekalkan ayahanda dalam suasana keruh dan panas dengan TGHH”.

Nik Abduh diberitahu. Bukan dia dengar sendiri. ‘Sumber’ yang dia rasa boleh dipercayai tidak semestinya orang yang boleh dipercayai. Kalau nak bandingkan TGNA dan Nik Abduh, sudah jelas siapa yang lebih berpengalaman dengan tipu-helah manusia. TGNA lebih mampu memilih orang kepercayaan yang boleh dipercayai berbanding Nik Abduh. Adakah kita diminta menolak orang kepercayaan TGNA supaya berpegang kepada orang kepercayaan Nik Abduh? Saya rasa bukan orang kepercayaan TGNA yang memperalatkan TGNA tetapi orang kepercayaan Nik Abduh yang memperalatkan Nik Abduh. Itu saya rasa jauh lebih mudah untuk dilakukan.

Lagipun, tengok sahaja kepada maklumat yang diberikan kepada Nik Abduh. “Menyumpah seranah kerana kegagalan mereka mengekalkan ayahanda dalam suasana keruh dan panas dengan TGHH”. Ini memang maklumat batu api. Saya rasa anakanda Nik Abduh kena matang sikit bila menerima maklumat supaya tidak mudah di permainkan orang.

2. Perbezaan Pendapat Satu Rahmat
Bagi saya memang ada perbezaan pendapat dalam soal hubungan kita dan BN di antara TGNA dan TGHH. Perbezaan pendapat ini perkara biasa dan tidak merupakan satu masalah. Lebih-lebih lagi apabila melibatkan ulama’ seperti TGNA dan TGHH kerana mereka memahami dan menghayati ‘adabul ikhtilaf’. Itulah sebabnya walaupun berbeza pendapat, TGNA memuji kemampuan dan kebolehan TGHH berhujjah dalam Parlimen. TGNA bukan macam kita. Bila tak setuju atas satu perkara, maka semuanya tak betul.

Begitu juga, oleh kerana adabul ikhtilaf ini, TGNA tidak membuat tuduhan liar bahawa TGHH diperalatkan pembantunya atau memperlekehkan peribadi pembantu-pembantu ini. Seperti TGNA, saya rasa TGHH juga ada para pegikutnya ke serata tempat. TGNA memahami perbezaan pendapat ini atas persoalan yang dibenarkan adanya perbezaan pendapat.

Kenyataan Nik Abduh bahawa “ayahanda menerima muzakarah atau muqabalah selepas bermatian menolaknya” adalah tidak tepat. TGNA tak pernah menerima ‘muzakarah’ dan itulah sebabnya mengapa akhirnya istilah yang diguna ditukar kepada ‘muqabalah’. Ulama’ mi celup pun faham beza muzakarah dan muqabalah, tak kan yang ‘ulama’ mi goreng’ tak faham? (Yang mi goreng ini lama sikit berada dalam kuali).

Begitu juga penggunaan istilah-istilah menghina sahabat-sahabat seperjuangan. Jangan oleh kerana perbezaan pendapat kita mula menghina dan mencaci sahabat-sahabat kita sendiri. Saya harap budaya ini ditamatkan dan sebagai pemimpin pemuda peringkat nasional, Nik Abduh patut menunjukkan contoh yang baik. Biar kita berhujjah tetapi hayati adabul ikhtilaf seperti sepatutnya, seperti yang dilakukan ayahanda. Istilah-istilah seperti ‘pejuang nafsu’, ‘ulama’ mi celup’ dan sebagainya amat tidak sesuai digunakan. Ia menghina orang lain dan menzahirkan satu sikap yang terlalu angkuh.

3. Musyarrakah Fil Hukumah
Saya rasa soal keperluan seseorang Muslim dan lebih-lebih lagi sebuah gerakan Islam untuk melibatkan diri dalam sebuah kerajaan bukan Islam atas syarat-syarat seperti yang disebut oleh Nik Abduh tidak menjadi pertikaian. Itulah mengapa soal Tahalluf Siyaasi diamalkan sehingga membawa kepada musyarrakah fil hukumah atau pengongsian dalam pemerintahan.

Bila saya membaca hujjah yang disebut, khususnya kes Nabi Yusuf AlaihisSalaam, teringat saya akan episod tahun 80an apabila hujjah ini digunakan oleh Anwar Ibrahim semasa beliau, bersama beberapa ahli ABIM, masuk UMNO. Pada masa itu orang PAS marah kerana terasa dikhianati kerana selama ini, sebelum itu, Anwar dilihat bersama PAS walaupun menyokong melalui ABIM. Sepatutnya, PAS yang pernah terasa dikhianati memahami betapa marahnya perasaan orang yang dikhianati.

Atas kefahaman yang sama, bahawa pengongsian kuasa ini boleh dilakukan, atas syarat-syarat tertentu, PAS menyertai BN pada tahun awal 70an. Dalam kedua-dua peristiwa ada untung dan ada ruginya. Ramai berpendapat, tetapi mungkin belum mencapai tahap ijma’, lebih rugi dari untung.

Dalam perkara ini, jelas bahawa hukumnya bergantung kepada samada ianya menguntungkan atau merugikan perjuangan Islam. Oleh itu syarat-syarat perlu ditentukan dan perkiraan untung rugi diambil berat. Dalam soal untung rugi ini, semestinya akan ada perbezaan pendapat kerana ianya berhubung bacaan seseorang terhadap suasana politik dan tindakan yang paling berkesan untuk memanfaatkan suasana tersebut demi perjuangan Islam. Bagi sesetengah pihak jawatan menentukan secara muktamad untung-rugi sesuatu tindakan. Bagi sesetengah yang lain, bukan jawatan tetapi kesedaran dan sokongan rakyat.

Saya akan kupas persoalan ini secara lebih terperinci kemudian di bawah ini.

4. Soal Kerajaan BN Dan Kerajaan PR
Nik Abduh menyebut “Saya memberanikan untuk berhujah bahawa samada BN atau Pakatan Rakyat, kedua - duanya bukan daripada jenis negara Islam.” Betul dan saya cukup bersetuju dengan kenyataan ini. Ini kembali kepada kefahaman kita berhubung persoalan ‘Musyarrakah fil hukumah’, kita berkongsi kuasa dan oleh itu tidak boleh menganggap kita berkuasa seorang diri maka semuanya mesti ikut kehendak kita. Namun beradanya kita sebagai rakan kongsi mesti menguntungkan perjuangan yang dibawa kita.

Yang saya tidak setuju ialah bagaimana beliau meletakkan BN dan PR itu sebagai sama sahaja. Mungkin dia lupa bahawa kita bersama PR dan atas kebersamaan kita, telah kita mendapat sokongan dan undi dari masyarakat yang sebahagiannya belum lagi menyokong perjuangan PAS. Untuk meletakkan BN dan PR pada taraf yang sama dalam perkiraan kita merupakan satu penafian hakikat suasana politik yang kita wujudkan bersama. Atau beliau baru bangun tidur dan tidak sedar semua yang berlaku sebelum dan selepas PRU ke-12?

Bagaimana kita boleh menilai secara tepat soal untung rugi sesuatu tindakan kalau kita tidak mampu meletakkan konteks penilaian kita dengan betul dan tepat? Kita bersama PR dan atas nama PR, kita memerintah beberapa negeri. Ya, saya tahu. PR hanya wujud selepas PRU ke-12 tetapi itu tidak menafikan kerjasama BA (iaitu PAS dan PKR) bersama DAP dalam menghadapi PRU ke-12. Undi masyarakat Cina dan penyokong DAP untuk kita dan undi kita untuk mereka dalam menentang BN? Begitu juga masyarakat India dan lain-lain. Kebencian rakyat terhadap BN yang memungkinan pengundian sebegini berlaku! Dan apakah setelah kita mencapai kemenangan, melalui sokongan ini, kita berpaling dan mengatakan BN dan PR sama sahaja?

BN dan PR tak sama. Kita ada pakatan dan perjanjian bersama PR dan kita tidak akan khianati mereka selagi mereka tidak khianati kita. Sila rujuk ayat 91 hingga 95 Surah An-Nahl dan jelaskan kepada semua Maqasidnya serta Asbabun Nuzulnya. Saya bukanlah ulama’ maka harap yang merasa dirinya ulama’ (yang bukan jenis mi celup) sila jelaskan.

5. Untung Rugi Perjuangan
Soal apa yang menguntungkan dan apa yang merugikan perjuangan memang penting. Tetapi yang mesti untung adalah perjuangan, bukan diri kita sendiri atau indvidu-individu tertentu.

Persoalannya apakah yang menguntungkan dan apa pula yang merugikan? Ada yang menganggap jawatan adalah ukuran muktamad. Kita mesti memegang jawatan Menteri ini dan Menteri itu. Siapa yang menawarkan jawatan-jawatan ini maka kita akan bersamanya! Kita mesti terima dan dengan itu perjuangan kita akan untung. Adakah ini benar?

Yang pasti individu yang menjawat jawatan itu yang untung. Itupun di dunia, diakhirat tak tentu lagi. Dari sudut perjuangan, tidak semestinya. Perjuangan PAS bukan perjuangan untuk jawatan. Perjuangan PAS adalah perjuangan untuk mendidik rakyat berhubung ugama Allah dan bagaimana melalui Islam ini, manusia akan selamat dunia dan akhirat.

Itulah sebabnya bila nak menentukan tindakan mana menguntungkan dan tindakan mana merugikan, kita mesti memahami waqi’ persekitaran kita. Hakikat bahawa kita naik bersama PR mesti diambil kira. Ia sebahagian dari waqi’ ini. Tindakan kita mengkhianati amanat rakyat yang mengundi kita akan merugikan perjuangan kita. Walaupun kita diberi jawatan-jawatan yang dipohon. Kerana kita akan dilihat sebagai wanita jalang yang menerima tawaran tertinggi untuk khidmatnya. Rakyat akan memarahi kita. Sepertimana kita marah Anwar dulu yang hingga kini ada yang masih belum mahu memaafkan beliau. Dan mereka tidak akan percaya lagi pada kita dan menjelang PRU ke 13, kita akan kecundang walaupun kita memegang jawatan-jawatan Menteri sebelum dari itu. Yang paling tidak boleh diterima, Islam akan dilihat sebagai perjuangan yang tidak berprinsip. Adakah kita sanggup melakukan sebegitu? Jatuh taraf perjuangan PAS sehingga menjadi setaraf perjuangan Othman Jailu mengikut pandangan rakyat?

6. Soal Kerajaan Perpaduan Atau Unity Government
Nik Abduh menulis, “Selamba saja ayahanda memberi komen. “Ya, jika BN mahu kita bersama, mereka mestilah bersedia memberikan kita jawatan - jawatan yang penting yang kita akan laksanakan program Islam di dalamnya. Berikan Kementerian Kewangan dan Kementerian Pendidikan misalnya. Kita nak jadi PM mesti mereka tak terima. Jadi kita minta apa yang penting untuk kepentingan rakyat dan negara. Kita boleh bersama.”

Ya, secara selamba jawapan TGNA. Mungkin kerana dia tahu bahawa jawatan yang disebut tidak akan ditawarkan oleh BN. Sepertimana juga penjelasan TGHH, syarat yang pertama untuk konsep ini berjaya adalah keikhlasan - sepertimana yang telah saya huraikan di dalam Persoalan Kerajaan Perpaduan. Kita semua menyedari bahawa syarat ini tidak dipenuhi BN. Cuba lihat, tawaran yang dibuat tidak langsung dihiraukan. Akhirnya kita tarik balik. Kita iklas dan kuathir masalah meruncingnya keadaan politik tanah air. Tetapi BN tidak. Yang meruncingkan keadaan adalah mereka dan memang mereka inginkan ianya meruncing supaya kita akan ketakutan dan hentikan usaha kita untuk menjatuhkan mereka. Supaya kita menjemput BN berdamai dan bersatu, sehingga berlaku perbalahan sesama kita. Akhirnya berkatalah orang, ‘hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong’!

Apa yang kita nak gaduh? Tawaran itu tiada yang menerimanya. Kita buat tawaran, orang buat tak tahu lepas itu kita gaduh sesama kita. Kelakar dan pelik bukan? Gaduh sehingga berlaku tuduh menuduh, cakap macam kita tahu apa yang ada di dalam hati manusia.

Lupakan sahajalah persoalan Unity Government ini. TGHH sudah pun tarik balik. Hayatilah keputusan Muktamar tahun lepas di Ipoh dan perkukuhkan PR.

Khalid Samad
WaLlahu ’Alam

Nota: Selesai sahaja menulis, saya dimaklumkan bahawa terdapat susulan dari artikel tersebut yang belum lagi sempat lagi saya baca. Tengoklah dulu, jika ada keperluan dan kesempatan akan diusahakan.

PERSOALKANLAH APA SAHAJA YANG ANDA SUKA SELAGI MANA ANDA BOLEH MEMPERSOALKAN. JUMPA DI MAHSYAR.


Salam untuk semua......

Pelbagai persoalan dibangkitkan apabila aku memilih untuk berdiam diri sebaik sahaja tamatnya PRK Bukit Gantang. Macam macam yang disampaikan kepada aku sepanjang aku memisahkan diri daripada "jemaah" dalam jemaah ini.

Ada yang positif. Ada yang negatif. Aku sebenarnya takde masa nak layan semua tu. Macam yang aku pernah sebut dulu, CUKUPLAH ALLAH SWT DAN RASUL-NYA UNTUK AKU.

Rebutlah apa yang kalian semua cita citakan. Cantaslah apa sahaja yang kalian rasa menggugat kalian. Itu urusan kalian. boleh jadi kalian akan menongkat langit selama lamanya.
Justify Full
Ada pihak kata, FACE IT. Ada pihak kata, IGNORE IT. Ada pihak kata, SAMAN JER. Ada pihak kata, SERAH JER KEPADA ALLAH swt.

TG lak kata, KEMBANG SIKIT KEPALA TU TAPI JANGAN PATUK. JANGAN ASYIK NAK MENGALAH JER.

Entahlah. Sukar gak. Apa apa pun, thanks a lot buat sahabat sahabat yang hampir saban hari menyalurkan info kepada aku terutamanya tentang apa yang berlaku dalam mesyuarat agong hari tu.

Aku tidak hadir bukan kerana aku takut untuk hadir. Aku tidak hadir kerana ada sahabat sahabat menasihati aku agar jangan hadir. Aku faham perasaan kalian. Apa apa pun, aku doakan kalian yang inginkan reformasi itu tidak mengalah dengan tekanan tekanan yang ada. Sama juga, doakan aku untuk terus dengan jemaah ini.

Aku akan tetap hijau walaupun team biru muda tidak pernah putus asa untuk meminang aku. Pengalaman bersama kalian di Kuala Terengganu dan Bukit Gantang telah menerbitkan suatu kesedaran dalam diri aku bahawa "kalian" sebenarnya tidak punya apa apa. Yang ada hanyalah kebolehan bercakap dan kepetahan memberikan cadangan. Itu jer.

Memang kalian lama dalam jemaah tapi kalian jugalah yang mewujudkan jemaah dalam jemaah. Memang kalian lama dalam politik tapi apa guna lama dalam politik jika nak rayu undi pun menggigil-gigil.

Lama menjadi ahli tidak bererti fahami semua selok belok jemaah. begitu juga lama berpilihanraya belum bererti fahami sepenuhnya sepak terajang pilihanraya. Kalau setakat asyik menyoal kerja dan tanggungjawab orang lain dan asyik mencadang pelbagai perkara dalam mesyuarat, lepas tu tarik bantal dan sambung tido, aku pun boleh.

Yang muda muda nih pun ada perasaan. Kami bukannya robot atau boneka yang boleh dicucuk hidung ke sana dan ke sini. Kalau tak nak kena tengking, janganlah menengking. Bila orang muda tinggikan suara dalam mesyuarat, ooooo orang muda tak hormat orang tua. Bagaimana pula jika orang tua yang tunjuk contoh begitu?

Kitab mana kata orang tua boleh lempar segala macam tuduhan kepada orang muda? Kitab mana yang menyebutkan orang tua bebas meninggikan suara kepada orang muda? Tunjukkanlah contoh yang baik sekiranya mahu anda di layan dengan baik tidak kiralah anda muda ataupun tua.

Janganlah jadi orang muda yang kurang ajar dan janganlah juga menjadi orang tua yang tidak tahu mengajar.

Orang yang berilmu adalah mulia jika memahami dan mengamalkan ilmu-ilmunya tetapi amatlah hina jika hanya menunjuk-nunjuk bahawa dirinya berilmu. Apa guna menyebut "saya dah 40 tahun terlibat dalam pilihanraya" jika hanya sekadar menjadi pemerhati dan pengulas yang asyik melemahkan semangat orang muda?

Aku bukan fitnah. Aku kata sungguh.

Pedihkan? Pahitkan? Lu fikirlah sendiri.

KERJA KERJA BODOH DALAM PAS 2


Salam Kamunting,

1) Saya menyegerakan penjelasan ini lebih awal daripada niat asal saya untuk menangguhkannya selang beberapa hari lagi. Bagi seorang blogger, adalah sayugia dan menarik untuk memerhatikan tindak balas daripada para pembaca dan masyarakat di luar terhadap apa yang dilontarkannya.

Saya tahu tulisan saya akan masuk akhbar dan menghangatkan dunia blog dan politik. Justeru apabila ia benar - benar terjadi, saya memerlukan sedikit masa untuk melihat, mengukur dan memutuskan sesuatu yang akan lebih mencorakkan apa yang saya inginkan daripada tulisan asal saya. Saya akan gagal jika arus luar menghanyutkan dan memesongkan saya daripada tempat tuju saya.

Saya tidak suka berbicara mengenai arus. Saya tidak beriman dengan arus kerana saya dilarang beriman dengan arus. Kuasa rakyat, Makkal Sakti atau apa nama yang bersifat arus, itu bukan makanan kegemaran saya.

Saya akan berbicara tentang sesuatu yang mencipta arus itu. Saya akan berbicara mengenai angin. Anginlah yang mencipta arus dan gelombang. Saya tidak beriman dengan angin juga. Tetapi saya akan meredah mencari punca angin. Di situ saya menemui apa yang saya inginkan.

Saya menemui Allah. Allah mencipta angin dan Allahlah yang mengarahkan angin mencipta arus dan gelombang. Allahlah tuhan saya. Saya beriman dengan Allah yang satu. Dalam gelombang jenis mana pun, saya mahu tenang. Allahlah sumber ketenangan saya dan seluruh pembaca yang inginkan ketenangan yang benar dan abadi.

Justeru saya tidak akan fana dan luluh dalam gelombang kuasa rakyat atau kemarahan dan ridha rakyat. Rakyat hanyalah mainan pemimpin. Pemimpin adalah angin. Pemimpinlah yang mencetuskan kuasa rakyat dan mengemudi halanya. Dalam kebangunan dan kejatuhan sesebuah negara, pemimpin digunakan Allah untuk menentukan kejayaan dan kehancurannya.

Allah mengarahkan pemuka - pemuka negara melakukan kebaikan dan keadilan. Jika mereka melakukannya, Allah perteguhkan negara tersebut dengan keadilan dan keamanan. Jika pemuka - pemuka itu engkar, malah melakukan kefasiqan dan kezaliman, Allah pasti menghancurkan negara itu sehancurnya. Ia berpindah dari gelap menuju gelap atau lebih gelap lagi.

Saya bercakap mengenai pemimpin. Rakyat perlukan pemimpin yang benar dan jujur. Kemudian dia mesti berani dan amanah. Jika seorang pemimpin mencetuskan arus, maka arus itu biarlah benar, berguna dan dinikmati hasilnya.

Semalam saya dihubungi ayahanda dari Kota suci Makkah. Saya tengah menulis pasal bola sepak dan tahniah saya pada pasukan Kelantan dan Selangor yang telah menyajikan permainan yang bagus dalam perlawanan akhir piala FA.

Saya pastinya tersentak. Saya tahu saja apa isinya perbualan nanti. AlhamduliLlah, ia mengesankan walaupun perbualan hanyalah sekitar dua tiga minit. Saya gembira dihubungi kerana saya dapat menjelaskan beberapa perkara yang saya fikir perlu.

Ayahanda menegur dan meminta saya tulis lagi agar kekeliruan dipadamkan. Jangan tinggalkan kekeruhan bertapak lama. Saya kata ya, saya akan tulis dan segera tulis sebagaimana ayahanda mahu.

Pastinya tulisan kedua ini lebih ringan bebanannya. Saya dapat lampu hijau daripada ayahanda. Sebelumnya, saya hanya memohon lampu hijau daripada Allah. Anda akan lihat bagaimana ketenangan mengalir dalam tulisan saya. Saya lebih yakin.

Selang beberapa jam, belum pun saya mula menulis, saya diberitahu bahawa sekumpulan insan sedang bergembira kerana hal Nik Abduh telah selesai. Ayahandanya telah mengarahnya berhenti buat cerita! Saya tersentak lagi. Wah, ada insan yang begitu teliti pekerjaannya sehingga dia tahu isi perbualan saya dengan ayahanda!

Sekarang anda tahu betapa saya sedang menempuh jalan yang sukar. Anda tahu saya perlukan keberanian yang sudah lama saya pohon daripada Tuhan saya. Betapa saya sering menangis memohon keberanian daripada Allah. Mengapa saya harus mendiam diri, takut dan dilanda kecewa sendirian? Dalam blog ini, saya sering menyeru agar jangan bersedih, berani kerana benar dan pelbagai dorongan ugama, tetapi saya sendiri kelu dan bisu di hadapan kebenaran yang mesti saya sampaikan kepada ayahanda. Saya melukut di hadapan pembohongan dan pemalsuan yang dipaksakan ke atas orang yang saya kasihi.

Sehingga saya tiba - tiba diberikan keberanian itu. Ia melanda - landa datang. Allah memperkenalkan saya jalan dan masanya. Saya kenal diri saya. Saya mampu mengesan, dengan izinNya bahawa sesuatu itu daripada nafsu atau daripada suluhan taufikNya. Ini untuk saya dan diri saya. Justeru saya mulakan dengan nama Allah. Anda pun telah membacanya.

AlhamduliLlah, dalam seketika sahaja saya dihujani tahniah. Ia tidaklah mengujakan saya sehinggalah saya menerima ucapa terima kasih daripada seorang yang saya sayangi. Dia guru saya dan guru ratusan ribu ahli PAS seluruh negara. Saya bertanya adakah saya telah mengganggu dan merosakkan jamaah? Jawabannya tidak. Ia dinikmati oleh mereka yang cintakan keharmonian dan para ulama yang saya maksudkan daripada tulisan saya.

Akhirnya, keberanian turut melanda mereka yang faham tetapi takut dan bersimpati daripada kalangan guru dan sahabat saya. Mereka berjanji untuk turut bersama. Saya bersyukur kerana saya sedang mencetuskan keberanian untuk semua. Kekuatan saya bertambah - tambah dan Allah memberikan saya ketenangan yang saya perlukan saat ini.

Anda bacalah komentar para penjengok blog ini. Ia berbaur antara puji dan keji. Inilah suara rakyat. Inilah suara yang saya mahukan setiap pemimpin bersimpati dan bertanggung jawab ke atas mereka. Mereka memuji dan mencela dalam arus yang diciptakan ke atas mereka. Justeru arus mestilah benar agar mereka tiada tertipu oleh pemimpin.

Sekarang masanya saya menjelaskan..

2) Saya dengan sengajanya memilih perkataan ‘pembantu - pembantu ayahanda’ dan menjadikannya umum. Saya tembak terus kerana saya mahu semua orang kena. Semua mereka yang merasakan masing - masing adalah pembantu ayahanda. Saya mahu mereka bertanya, adakah aku yang dimaksudkan?

Pastinya mereka yang tidak pernah bercakap dan menyumbang idea kepada ayahanda mengenai isu - isu politik yang saya maksudkan akan merasakan mereka terkeluar. Keluarlah anda. Sesungguhnya Allah membalas pekerjaan anda dengan kebaikan yang melimpah daripadaNya.

Saya kenal kebanyakan pembantu ayahanda. Mereka inilah kaki dan tangan ayahanda yang telah banyak menyumbang dan berkorban. Daripada Abang Lah pemandu ayahanda yang telah berkhidmat sedari saya kecil sehinggalah YB Dato Ahmad Yaacob, Timbalan Menteri Besar Kelantan, ada ratusan pembantu ayahanda samada di pejabat PAS Kelantan, di pejabat SUK dan di luarnya.

Saya hormati mereka dan saya tabik mereka. Kerja dan bantuan mereka mengatasi saya. Saya hanyalah seorang anak yang menjadi pembantu dalam soal - soal kekeluargaan. Ayahanda pernah meminta saya menjadi Setiausaha Akhbarnya. Saya mohon derhaka. Ayahanda pernah bertanya tahun lepas, di kawasan mana saya mahu bertanding? Saya mohon derhaka. Ayahanda pernah meminta saya menjadi Pegawai Peribadi di DUNnya. Saya mohon derhaka. Ayahanda akur kerana dia tahu maksud dan bebanannya ke atas saya.

Saya mahu kekal sebagai pembantu di rumah. Saya meyakini kekuatan para pembantu ayahanda di luar. Saya tidak banyak masuk campur walaupun kadang - kala bonda bersungut mengenai beberapa pembantu yang dilihat gagal berperanan.

Kepada mereka saya doakan kesejahteraan di dunia dan akhirat.

Adapun maksud saya adalah para pembantu yang membantu dalam isu politik. Mereka ramai, mungkin berpuluh - puluh. Semua mereka adalah benar dan betul. Kerana jasa merekalah ayahanda jadi perkasa dalam dunia politik Islam dan tanah air.

Pekerjaan bodoh hanyalah satu. Dan atas pekerjaan yang satu inilah saya menyerang dengan panas. Apabila anda memuji saya, ia tak pun meredakan kemarahan saya. Apabila anda memaki saya, ia tak pun memarakkan kemarahan saya. Saya kekal panas sehinggalah ayahanda dibebaskan daripada kerja - kerja bohong, bodoh dan jahat ini.

Ayahanda adalah ayah saya. Darah dan dagingnya mengalir di tubuh saya. Jika anda berjutaan memerangi saya, anda tak akan mampu memisahkan di antara darah dan daging kami. Saya mempertahankan ayahanda sebagaimana saya mempertahankan saya.

Saya enggan melihat kepanasan ayahanda disebabkan pembohongan dan pemalsuan. Saya enggan melihat mendung di langit perjuangan Islam. Saya enggan melihat kekecewaan daripada hukuman yang salah dan palsu.

3) Yang menghubungkan kita dengan langit adalah al Quran dan al Rasul sallaLlahu alaihi wasallam. Apabila baginda wafat, para ulama adalah pewaris. Ulama mewarisi ilmu, iman dan taqwa. Itulah legasi kenabian. Al Quran adalah punca ilmu yang benar. Ia dijaga kekuasaannya sehingga qiamat. Allah mempersiapkan para ulama dengan ilmu, iman dan taqwa demi kelangsungan perjuangan menegakkan kekuasaan al Quran ke atas manusia.

Ulama adalah cahaya yang menyinari kehidupan. Ketika PAS kesakitan, Allah mencetuskan idea kepimpinan ulama. Ia memberkati kebangkitan PAS. Allah bekalkan kita dengan para ulama yang menerajui dan menyatukan kekuatan.

Jika anda ingin berubah, berubahlah dalam kesatuan yang telah dibina para ulama. Jika anda ingin pembaharuan, bergeraklah bersama mereka.

Jangan tukarkan makanan dari langit dengan bawang putih dan bawang merah semata - mata anda sudah jemu dengan makanan syurga. Jangan tiru Bani Israel!

Ulama menyatukan kita sedang sesetengah anda memecahkan di antara ulama. Inilah kerja bodoh! Pemberi komen bernama MuhaiminSulam kata, tukarkan bodoh kepada jahat!

Saya memaksudkan mereka ini dan saya memaksudkan kerja seperti ini. Saya tidak memaksudkan kerja mereka yang lain walaupun ada lagi yang lain.

Saya menulis kerana ia sedang mengancam kesatuan dan ketenangan. Bukan saya, bahkan semua merasa tidak tenteram. Saya menyerang dipuncanya agar anda tahu puncanya. Apabila anda menguasai puncanya anda akan kembali dengan ketenangan dan kekuatan.

4) Saya nukilkan perbualan saya dan ayahanda pasal idea Unity Government dan Pakatan Rakyat. Saya kemukakan titik persamaan dan perbezaan. Jawaban ayahanda adalah di sebalik yang anda perolehi di luar. Saya kata ayahanda menerima hujah keharusan itu.

Saya tak kata ayahanda dah setuju dibentuk kerajaan bersama BN. Saya tak tanya pun adakah dia setuju atau tidak. Itu tidak penting. Ia tidak mengganggu apa yang saya mahukan daripada jawabannya itu.

Anda dan surat khabar hanya mentafsirnya. Jika anda mahu tafsiran terbaik, tanya dia sendiri. Saya tidak memerlukan jawaban itu.

Ingat, saya bukan mendodoi Unity Government di sini. Nak berhujah, cari di tempat lain. Saya hanya mahu anda faham mengapa wujud percanggahan di antara sebelum dan selepas pertemuan itu? Mengapa sejuk sesudah panas? Saya memberitahu anda sebabnya. Sebabnya adalah pekerjaan bodoh itu.

Kerja bodoh bukan menolak Unity Government. Kerja bodoh ialah memahamkan maksudnya dengan maksud yang tak benar dengan tujuan yang tak benar di sisi ugama.

Jika anda mahu lawan, cukup anda buktikan bahawa saya telah berbohong tentang kewujudan kerja bodoh itu. Jika anda sangsi, usah percaya dan usah bohongi. Saya menulis kepada pembaca di blog saya yang yakin bahawa saya tidak berbohong. Kepada mereka saya mahu memberikan rasa tenang dan yakin.

Saya juga menulis untuk disampaikan kepada pembantu - pembantu itu agar bertaubat. Kerja kamu itu sia - sia di sisi tuhan walau kamu digilai manusia dan haiwan pun.

Kemudian saya tambahkan perencah. Wujud mereka ( pembantu ) yang berang sesudah ayahanda tersenyum lebar di JKR 10 selepas pertemuan di antara anggota Majlis Syura. Mereka gagal memisahkan di antara ulama.

Jika anda mahu lawan, cukup anda buktikan saya bohong. Tidak wujud keberangan itu. Jika tidak, anda melibas pedang di angin, lalu mendakwa tubuh saya telah putus seribu.

Saya perhatikan seni hujahan anda. Tumpul dan rapuh. Saya jentik, terbang bagai abu di hujung rokok. Sila datang kepada saya di luar, mari bersabung. Saya tunjukkan anda seni berhujah yang digemari agama dan malaikat.

5) Saya berpegang sebagai mana ahli PAS berpegang. Pakatan Rakyat adalah sebaik - sebaik temuan dan alternatif hari ini. Tulisan saya sebelum ini menyokong DSAI sebagai peneraju jika ianya disepakati. Hujah agama membenarkan. Tulisan saya sebelum ini menolak pakatan dengan BN, apatah masuk BN. Sehingga BN bersetuju untuk berubah, hukum agama mengambil tempat.

Saya menyeru kepada pembukaan. Jangan tutup apa yang Allah mahu ianya terbuka. Anda akan bernafas lebih lega dan harmoni. Anda akan lebih gagah melangkah.

Ini siasah syar’ieyah. Dua tuan guru ini adalah pakar ilmu ini. Apabila mereka bertelagah saya tak rimas pun. Saya tahu mereka akan bertemu dan bersetuju. Saya diberitahu TGHH dinasihat untuk tidak berjumpa ayahanda ketika panasnya, tetapi beliau enggan. Beliau tahu ayahanda akan reda. Reda dan ridha dengan temuan ilmu dan hujah. Itulah yang berlaku.

Tetapi, kerja - kerja bodoh mengambil tempat. Mereka inilah batu api. Batu api inilah satu kerja dosa besar yang merosakkan jamaah dan ummah. Atas kerja bodoh inilah saya doakan Allah membalas mereka di dunia agar mereka kembali sedar dan bertaubah.

Itu hikmah Allah membalas di dunia. Anda alim, ingat ayat itu. Anda jahil, tanya orang alim. Jangan meracau tak tentu pasal marahkan saya menamakan sesetengah manusia sebagai ulama ‘mi celup’. Apa tak adakah di dunia ini orang jahil yang mengaku alim?

Macam peniaga makanan kesihatan dalam MLM. Habis kursus sebulan pasal produk, mereka keluar bersyarah macam seorang doktor. Anda marahkah jika saya namakan mereka doktor ‘mi celup’?

Saya belajar ugama. Maka saya tahu saya bukan taraf ulama. Saya tahulah siapa ulama yang benar dan palsu. Saya ada neracanya mengenal kaca dan permata. Kerana itu saya mempertahankan ulama yang saya kenali dan akui ilmu, iman dan taqwa mereka.

Mereka di hadapan anda. Menyayangi ulama adalah iman. Memusuhi ulama adalah perang terhadap Allah. Ingat al hadis itu. Justeru jangan mencetuskan kebencian dan kerenggangan di antara awam dan ulama, apatah memecahkan saf para ulama.

Jangan lupa blog saya. Doakan saya terus mampu menulis demi perjuangan meruntuhkan kekuasaan BN durjana.


Oleh : Ust Nik Abduh Nik Aziz