Sebelum ini, ana banyak menyaksikan pengorbanan ahli sesebuah organisasi bagi menghidupkan organisasi tersebut tetapi dalam masa yang sama pemimpin organisasi tersebut akan hidup seperti dewa-dewa yang berada di atas kayangan. Sumbangannya hanya bercakap, bercakap, bercakap dan terus bercakap. Yang bertungkus-lumus merealisasikan apa yang dicakapkan itu adalah ahli bawahan yang pada kebiasaannya terdiri daripada golongan berpendapatan rendah.
Ada pula organisasi tertentu yang menjadikan bidang kebajikan sebagai bidang yang bermusim dan bersifat tempelan sahaja. Bila diajukan soalan kenapa begini dan begitu, jawapan yang diterima pastilah berbunyi “nak buat baik tak perlu bising-bising kerana nanti kurang pahala”. Relevankah jawapan sedemikian sedangkan Rasulullah saw sendiri memberikan sedekah kepada fakir miskin secara terbuka?
Yang berstatus pemimpin, pastinya akan datang dan pergi sebagai tuan manakala yang bernama ahli itu sifatnya mestilah sentiasa berkorban siang dan malam. Adakah ini yang dianjurkan oleh Islam? Di manakah hilangnya apa yang sering disebutkan kepimpinan melalui teladan? Bagaimana kejayaan akan dicapai jika pemimpin yang diamanahkan untuk memimpin telah berubah menjadi tuan yang hanya akan memberikan arahan? Yang hanya tahu bersalaman ketika menghadiri sesuatu program tetapi kemudiannya tanpa segan silu duduk-duduk di bawah khemah tanpa rasa sedikit pun malu kepada ahli bawahan yang berpeluh melakukan itu dan ini.
Ana tidak berniat untuk menikam mana-mana pihak tetapi inilah fenomena sebenar yang perlu kita jauhi sebelum kudis menjadi tokak. Berbeza dengan HAMAS. Pimpinan HAMAS akan berada di barisan hadapan setiap kali demonstrasi diadakan.
Ambil contoh demonstrasi yang dilakukan ketika Syeikh Ahmed Yaseen dibunuh oleh tentera rejim Israel. Dr. Abdul Azizi Rantisee sendiri yang memimpin demonstrasi itu. Perhatikan juga demonstrasi-demonstrasi lain di Palestin. Yang berada di hadapan itu pastinya pimpinan utama HAMAS. Hatta, Syeikh Ahmed Yaseen yang hanya berkerusi roda itu pun pernah menghadiri beberapa demonstrasi ketika hayatnya.
Pimpinan HAMAS turut menyandang senjata bagi menentang kebejatan rejim Israel. Kediaman mereka tidak ada bezanya jika dibandingkan dengan kediaman pengikut mereka. Mereka begitu mudah didekati tanpa perlu melalui sebarang protokol dan karenah yang menyakitkan hati. Tidak perlu surat temujanji atau kad jemputan. Mereka bersedia untuk turun ke medan setiap kali diperlukan.
Kita sering kali serabut memikirkan kenapa ahli organisasi kita tidak boleh “begitu dan begini”. Bagaimana mungkin ahli organisasi kita boleh “begitu dan begini” jika pemimpin yang memimpin organisasi kita sendiri tidak boleh “begitu dan begini”? Pokok pangkalnya, sikap pemimpin akan dicontohi oleh ahli bawahan sesuatu organisasi. Ada di kalangan kita yang menjadi hairan bagaimana pemuda-pemuda Palestin sanggup berkorban apa sahaja demi jihad mereka. Cuba kita renungkan dan kemudian kita jumlahkan pimpinan kanan HAMAS yang mati di atas pembaringan. Seterusnya, kita jumlahkan pula pimpinan utama HAMAS yang tidak pernah dihumbankan ke penjara rejim Israel. Jawapannya mudah. Hampir tidak ada.
Bandingkan pula pimpinan kita. Yang ke penjara adalah ahli bawahan. Yang luka-luka adalah ahli bawahan. Jika dikumpulkan 15 orang pimpinan organisasi kita, belum tentu 2 daripadanya pernah dipenjarakan mahupun dilokapkan melebihi 3 tahun.
Masyarakat hampir boleh bergurau tentang siapakah pimpinan yang akan hadir ketika demonstrasi diadakan kerana walau di mana sekali pun, walau bila sekali pun, wajah-wajah pimpinan yang hadir sudah boleh dijangkakan. Jika diminta ahli bawahan menyenaraikan pimpinan yang dijangka akan hadir berdemonstrasi, maka pastilah 9 daripada 10 orang yang disenaraikan itu akan tepat.
Sekali lagi kita berbeza dengan HAMAS. Pimpinan HAMAS akan menghadiri apa jua demonstrasi sekiranya demonstrasi itu diadakan atas alasan menyuarakan kepentingan rakyat. Jika persoalan ini diutarakan kepada pimpinan organisasi kita, maka pastilah pelbagai pendapat dan pandangan (baca sebagai alasan) akan diberikan.
Tidak mengapalah. Mungkin jawapan-jawapan, pandangan dan pendapat (baca sebagai alasan) mereka itu mampu menyelamatkan diri mereka ketika perbicaraan di hadapan Allah swt di mahsyar nanti. Ketika Allah swt bertanyakan “ke manakah kamu ketika si fulan bin fulan cedera di kepalanya ketika berdemonstrasi?”, adakah mereka akan menjawab “sibuk”, “ada mesyuarat”, “tidak sihat”, “sudah ramai yang hadir”, “jika semua berdemonstrasi, siapa yang akan memikul tugas pentadbiran”, “jihad itu boleh dilakukan dengan pelbagai pendekatan” dan sebagainya. Renung-renungkanlah.
Kepimpinan itu adalah amanah dan setiap amanah itu akan dibicarakan di hadapan Allah swt di mahsyar nanti. Syeikh Ahmed Yaseen menyeru umat Palestin untuk berkorban jiwa dan raga demi agama dan bangsa sehinggakan beliau sendiri terkorban syahid. Malangnya, pimpinan organisasi kita masih mampu tidur lena sedangkan ada saudara-saudara kita yang tidur kesejukan di sebalik tembok-tembok batu yang memenjarakan mereka. Tidak mengapalah. Mungkin mereka sudah menyiapkan senarai jawapan untuk dipersembahkan kepada Allah swt di mahsyar nanti.
Rasanya tidak perlu untuk ana mengomel panjang di sini. Cukuplah sekadar itu renungan untuk kita bersama-sama memuhasabah diri kita.
p/s : Artikel nih aku tulis sendiri.