Saturday, March 7, 2009

PERTEMPURAN DI GAZA : DI MANA DAN APA PERANAN KITA?



Assalamu ‘alaikum warahmatullahi wa barakatuhu……..

Segala puji bagi Allah Zat Yang Menguasai dan Mentadbir sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan kita Rasulullah saw, ahli keluarganya, sahabat-sahabatnya, ulama-ulama pewarisnya serta seluruh umat muslimin dan mukminin.

Dunia hari ini menyaksikan tangisan pilu di bumi Palestin. Bumi di mana Rasulullah saw dimi’rajkan ke langit untuk bertemu dengan Allah swt. Hari demi hari, tangisan pilu itu semakin kuat kedengaran. Malangnya, tangisan-tangisan yang merayu pertolongan dan bantuan itu seperti tidak dihiraukan oleh wilayah-wilayah yang berjiran dengan Palestin.

Negara-negara Arab diam seribu bahasa. Malah, negara Mesir yang menempatkan Universiti al-Azhar itu sendiri kelihatan keberatan untuk membuka pintu sempadan supaya warga awam Palestin dapat menyelamatkan diri. Pemerintah Arab Saudi yang menggelarkan dirinya sebagai Khadim al-Haramain juga begitu. OIC juga diam seribu bahasa.

Bukankah yang sedang disembelih di Palestin itu berbangsa Arab? Bukankah yang sedang diletupkan di Palestin itu seakidah dengan kita? Bukankah yang berada di Gaza itu menyembah Allah swt yang sama seperti yang kita sembah? Bukankah mereka juga mengimani Rasulullah saw yang sama seperti kita?

Ke manakah hilangnya rasa cinta kita terhadap saudara seagama? Di manakah silapnya dengan diri kita ini sehinggakan kita seperti tidak memandang penderitaan mereka sebagai penderitaan kita juga? Apa gunanya kita melaungkan bahawa kita prihatin tentang masa depan Islam tetapi kita memandang sepi penderitaan saudara kita di Palestin?

Kita gagal menyelami penderitaan mereka. Kita gagal menyelami keperitan dan kepedihan mereka. Kita gagal melakukan sesuatu untuk melindungi dan membela mereka. Kita gagal segala-galanya. Kita gagal kerana kegagalan kita untuk memahami apa sebenarnya yang diperintahkan oleh Allah swt menerusi al-Quran yang dinuzulkan kepada kita. Kita gagal kerana kegagalan kita untuk memahami hadith dan sunnah Rasulullah saw. Kita memiliki ilmu tetapi kita gagal memahami ilmu yang kita miliki itu.

Berdoalah semoga Allah swt tidak menjadikan kita kelompok manusia yang membaca al-Quran tetapi al-Quran itu sendiri melaknat kita. Berdoalah semoga Rasulullah saw tidak memalingkan mukanya ketika kita bertemu dengannya di akhirat nanti. Berdoalah semoga kita tidak tergolong di kalangan orang-orang munafik yang cakap tidak serupa bikin dan bikin tidak serupa cakap.

Berdoalah selagi mana kita boleh berdoa sedangkan Allah swt hanya akan membantu golongan yang berdoa dan berusaha untuk mencapai apa yang didoakan itu. Pertolongan itu tidak akan terjun dari langit tetapi pertolongan Allah swt itu akan datang bersama-sama usaha tangan dan hati kita.


Sekarang bukan lagi masanya untuk kita terus-menerus membicarakan kemenangan Sayyidina Umar al-Khattab ra membebaskan Bait al-Muqaddis. Bukan juga masanya untuk kita membincangkan kejayaan Salehuddin al-Ayubi membebaskan al-Quds. Janganlah kita terus-menerus berkhayal dengan kejayaan yang telah dicapai oleh pemimpin-pemimpin itu kerana pemimpin-pemimpin itu tidak mungkin akan bangun semula untuk mencapai kemenangan bagi pihak kita.

Inilah masanya untuk kita menyusun gerakan supaya kemenangan yang pernah dicapai itu sekali lagi menjadi milik kita. Inilah masanya untuk kita melakukan sesuatu bagi menjadikan kemenangan yang pernah dicapai itu terus-terusan menjadi milik kita.

Kembalilah kepada Islam yang sebenar kerana hanya Islam yang sebenar sahaja yang mampu menyelamatkan maruah umat ini. Kemenangan tidak mungkin dicapai dengan hanya duduk di dalam masjid dan membaca al-Quran. Kemenangan hanya akan dicapai apabila kita menunaikan tuntutan-tuntutan yang terkandung di dalam al-Quran itu. Sesungguhnya al-Quran itu bukanlah sekadar mushaf tetapi al-Quran itu adalah perintah Allah swt yang harus diamalkan dan dihidupkan.

Ya Allah, ampunilah kami yang gagal melakukan sesuatu untuk menyelamatkan saudara kami di Palestin dan di seluruh pelusuk bumi-Mu ini. Janganlah Engkau humbankan kami ke dalam neraka-Mu. Kasihanilah kami, Ya Allah.

Ya Allah, kurniakanlah kami kekuatan untuk berdiri dan berjuang membela agama-Mu ini. Janganlah Engkau jadikan kami dan pemimpin kami sebagai kelompok pejuang Islam yang tertipu dengan gerak kerja yang telah kami susun. Janganlah Engkau jadikan kami dan pimpinan kami sebagai kelompok pejuang Islam yang hanya pandai berkhayal.

Ameen.

Benarlah segala firman Allah swt dan segala perkhabaran yang disampaikan oleh Rasulullah saw.


“Tepuk dada dan tanya iman”
“Di mana bumi dipijak Di situ Islam dijunjung”

p/s : Artikel nih aku tulis sendiri


No comments:

Post a Comment