Thursday, April 23, 2009

BENARKAH KITA BERJUANG??????


Wahai orang yang beriman ! Apa yang telah berlaku kepada kamu ?

Apabila kamu diseru , agar turun ke medan untuk memperjuangkan agama Allah swt. tiba - tiba kamu memberatkan papan punggung kamu ke permukaan bumi [ malas ]

Kenapa jadi begitu ? adakah kerana kamu lebih sayang kepada kehidupan dunia berbanding kehidupan akhirat ?

Ketahuilah ! sesungguhnya kehidupan dunia yang kamu dambakan itu , berbanding akhirat yang telah dijanjikan oleh Allah swt. adalah sangat kecil nilainya disisi Allah swt .

Jika sekiranya kamu lengah untuk menunaikan amanah perjuangan , nescaya kamu akan diazab oleh Allah swt dengan azab yang sangat pedih .

Maksud Firman Allah swt dari surah at Taubah . Ayat : 38 - 39

Seseketika dalam mengharungi perjuangan ini , alangkah kita duduk sejenak untuk menganalisa atau bermuhasabah diri . Memandang jauh ke dalam jiwa dengan menyelaminya secara jujur dan telus terhadap diri sendiri . Lalu kita ajukan pada diri satu soalan , benarkah kita berjuang ?

Berjuang yang dimaksudkan di sini ialah bekerja gigih dengan segala upaya dan daya malah mengambil segala ruang dan peluang untuk menjulang kalimah Allah swt sehingga ia mengatasi ideologi ciptaan manusia , meskipun terpaksa berhadapan dengan tribulasi dan implikasi yang mengancam kepentingan diri .

Atas alasan dan tujuan tersebut , kita menyertai jamaah Islam ini bagi memastikan aspirasi perjuangan suci itu dapat kita laksanakan secara lebih berkesan . Persoalannya , benarkah kita berjuang ?

Benarkah kita berjuang ? , kalau hanya mengisi borang dan mendaftar diri sebagai anggota jamaah Islam tetapi gagal untuk komited [ iltizam ] dengan segala aktiviti amal jamaei yang dianjurkan oleh jamaah . Kita hanya mampu mentarbiyah tetapi tidak boleh ditarbiyah . Mampu mengarah tetapi tidak boleh diarah . Mampu menegur tetapi tidak boleh ditegur .

Benarkah kita berjuang ? , dengan hanya semata - mata kerap menghadhiri ceramah - ceramah umum tetapi liat untuk hadir dan menekuni program - program khusus seperti usrah , liqa fikri , tamrin , mukhayyam dan pelbagai aktiviti spiritual seperti qiamulail , al mathurat dan zikrullah . Program ceramah dilihat lebih penting sebab kita dapat publisiti sedang usrah ni hanya dihadhiri oleh 10 orang , tidak glamour langsung !

Benarkah kita berjuang ? , apabila kita selalu sahaja gagal melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang telah digalaskan ke atas pundak kita sebagai pimpinan jamaah walau dimana peringkat posisi kepimpinan kita . Mesyuarat sering tidak hadhir dan kalau pun hadhir hanya dengan kepala kosong . Lebih malang , ada mesyuarat dalam mesyuarat dan ada mesyuarat selepas mesyuarat .

Benarkah kita berjuang ? , sedang banyak masa kita habiskan untuk bersahaja dan mengelamun dalam mengimpi kemenangan . Hanya pandai mengomel dan mengkritik kesalahan anggota jamaah yang lain tetapi kita sendiri hanya mampu berdiri di tepian gelanggang . Kerja kita tidak beres tetapi nak ambil kerja orang lain . Kalut tidak bertempat .

Benarkah kita berjuang ? , seringkali kita mengabaikan hak ukhuwwah atau persaudaraan Islam sesama anggota . Cepat berburuk sangka malah sedikit berbeza pendapat kita terus menyerang pemikiran dan peribadinya seolah - seolah ia adalah musuh tradisi perjuangan kita . Kita rasa hanya kita sahaja yang hebat , berilmu dan berpengalaman . Pintar berhujjah dan berdebat . Kita pandang sahabat pun hanya dengan sebelah mata , penuh rasa benci . Senyum dan bersalam hanya untuk bermuka - muka .

Benarkah kita berjuang ? , suka sangat kita dedahkan rahsia jamaah . Setiap bilah dan patah perkataan yang dibincang dalam mesyuarat kita tulis dalam blog atau web site . Kita jadikan ia bahan sensasi untuk melariskan web site kita jua dengan harapan orang kata kita berani menegakkan kebenaran dan berani melampirkan fakta . Hanya kita yang mahu mempertahankan Islam dan jamaahnya sedang orang lain adalah pengkhianat yang perlu ditumpaskan .

Benarkah kita berjuang ? , kerana wawasan dan sesuatu gagasan pemikiran itu dilahirkan oleh pemimpin atau anggota jamaah yang kita tidak suka , maka kita tolak mentah - mentah . Lebih malang kita kasar dalam menolak dan kita lancang dalam berbicara . Langsung kita tidak hiraukan adab ikhtilaf sebaliknya apa yang kita inginkan ialah bagaimana kita nak menang dan pandangan kita yang diterima pakai .

Benarkah kita berjuang ? , kita sanggup mencantas sahabat seperjuangan dengan cara yang tidak bermoral agar dia jatuh dan kita yang naik jadi pemimpin . Kita melobi habis kawasan dan negeri bagi memastikan kita atau calun pemimpin yang kita suka mencapai kemenangan . Soal mampu atau tidak , soleh atau tidak bukan lagi menjadi ukuran . Ukuran tepat ialah dia mesti dari team kita .

Benarkah kita berjuang ? , wala' atau taat setia kita telah berbelah bahagi , bukan lagi kepada pimpinan jamaah tetapi di sana ada individu berpengaruh dan ia berada di luar jamaah yang sangat kita kagum karektornya . Sedang pimpinan kita sendiri dilihat kolot dan tidak hebat . Kita tidak berdiri teguh di belakang pimpinan kita sebaliknya kita teguh berdiri dan menyokong pemimpin dari luar jamaah kita sendiri .

Benarkah kita berjuang ? , hubungan kita hanya terhad kepada golongan dan team kita . Dakwah kita tidak melebar kepada semua golongan termasuklah non muslim . Kita hanya hebat dalam gelanggang kita sendiri . Kita orang PAS ceramah pasal PAS dalam markas PAS kepada orang PAS , habis tu bila Islam ni nak lePAS ?

Benarkah kita berjuang ? , peribadi kita tidak melambangkan inspirasi perjuangan . Kita malu sipu nak jelaskan dasar perjuangan kerana keterlaluan mahu menjaga hati . Suara Islam mahu diliberalkan atas alasan orang belum memahami Islam . Penampilan diri juga dinuetralkan agar tidak dianggap fundamental .

Benarkah kita berjuang ? , kita banyak ketawa dan hidup dalam kemewahan . Kita tidak mampu menyelami kesusahan dan kepayahan yang dihadapi oleh para murabitun jamaah yang ikhlas berjuang , jauh sekali untuk rakyat yang terhimpit . Gaya hidup hampir menyerupai musuh malah meluka perasaan anggota jamaah sendiri .

Benarkah kita berjuang ? , ibadah kita kurang . Hubungan kita dengan Allah swt jauh . Gagal solat berjamaah dan membaca al quran pada kekerapan yang lebih berbanding orang awam . Kehalusan budi dan ketulusan hati tidak kita dimiliki . Ucapan kita menampakkan kesombongan dan tindakan kita tidak berhemah . Suka pandang rendah pada orang lain jauh sekali mahu menghormati mereka .

Benarkah kita berjuang ? , kadang - kadang kita pun keliru mengenai konsep kepimpinan jamaah kita sendiri . Kita sebut kepimpinan ulama' tetapi kita tidak beradab dengan ulama' . maki hamun ulama' dan menista mereka menjadi kalimah yang meniti di bibir kita tanpa rasa bersalah apalagi berdosa .

Benarkah kita berjuang ? , kerana kita pun tidak jelas matlamat dan hala tuju perjuangan . jamaah kita ni gerakan Islam ke ? atau parti politik semata ? Slogan perjuangan pun gagal kita hayati . Matlamat kita , dustur kita , landasan kita , ikutan kita , cita - cita kita tidak mendarah daging dalam diri kita . malang , sering kita ni cakap lain tetapi tindakan kita lain pula .

Benarkah kita berjuang ? , banyak sungguh dosa kita . Makin berjuang makin tambah dosa . Dosa mengumpat , dosa mengutuk , dosa salah sangka , dosa mencantas , dosa memfitnah , dosa menipu , dosa tidak taat kepada pimpinan , dosa tidak tunai amanah perjuangan , dosa dedah rahsia jamaah , dosa khianat kepada sahabat seperjuangan , dosa hipokrit , dosa melukakan hati anggota jamaah , dosa dedahkan aib pimpinan dan anggota jamaah , dosa mata , dosa tangan , dosa kaki , dosa telinga , dosa mulut , dosa hati , dosa otak , dosa .... , dosa .... , dosa .....dan dosa .....

Ya Allah ! benarkah kita ni berjuang ? atau kita selama ini hanya bermain dan menambah beban dosa dalam perjuangan buat diri kita sendiri .

hayya bina nu'min saah ! ayuh kita kita bersimpuh seketika untuk kita merenung [ introspection ] jauh ke dalam jiwa kita . Terlebih dulu kita buangkan segala alasan membela diri , sikap menyalahkan orang lain dan rasa diri dipihak benar . Sebaliknya cari alasan untuk menyalahkan diri agar kita insaf , jangan bela diri supaya dirasa diri kita juga perlu dihukum dan kumpulkan rasa bersalah itu atas diri kita sendiri agar kita tidak angkuh untuk mengakui kesilapan sendiri .

Sahabat ku semua , marilah kita bermuhasabah agar kita dekat dengan Allah swt dan kita segera diberikan nusrahNya . Insyaallah , muhasabah ini akan memulihkan hubungan kita yang retak , perjuangan kita yang tergugat , dan kedudukan kita yang kian jauh dari Allah swt .

Masih banyak item untuk dipersoalkan pada diri kita dengan mulakan pertanyaan benarkah kita berjuang ? semoga kita diridhai oleh Allah swt .

Selamat berjuang sahabat ku !

Oleh : al-Fadhil Ustaz Nasaruddin Hassan Tantawi

BACK IN KL


Salam...


Aku dah ada di kl. So, sesaper yang rasa ada "urusan" dengan aku sila maklumkan awal awal. Banyak perkara aku nak kena settle nih. Terlalu banyak.

TQ untuk sahabat sahabat yang bagi semangat kat aku. TQ juga kepada sahabat sahabat di Penang, Kelantan dan Terengganu yang bantu aku.

InsyaAllah aku tak akan mengalah kepada tekanan ini. Cukuplah Allah swt dan Rasul-Nya untuk aku.

Tuesday, April 21, 2009

YB DR TAN SENG GIAW MEMPERTAHANKAN YB DATUK KAMARUDDIN JAAFAR


Dr Tan Seng Giaw, Timbalan Pengerusi DAP Kebangsaan membela rakan seperjuangannya Dato' Kamarudin Jaffar selaku Setiausaha Agung PAS Pusat. Menurut Dr Tan, "Kamarudin Jaffar cuma mengingatkan Najib, kena jaga Perak baik-baik, nanti rakyat bangkit, susah. Selesaikan ikut perlembagaan. Nak selesai mudah. Bubar DUN dan serahkan mandat bentuk baru kepada rakyat."

Dr Tan menafikan sekeras-kerasnya kenyataan Kamarudin berbaur hasutan. Menurut Dr Tan lagi, kita akan memastikan dan berharap tidak akan berlaku perkara seperti di Thailand. Kita mesti elakkan kerana ia akan menjejaskan bukan sahaja imej Malaysia bahkan di dalam kemelut ekonomi akan bertambah buruk.

Yang penting kita mesti bertindak secara aman. Ini bukan tanggungjawab Pakatan Rakyat semat-mata tetapi BN juga harus mempastikan tiada tindakan yang diambil yang mendatangkan kemarahan rakyat. Cara merampas kuasa dan cara menimbulkan huru-hara serta porak-peranda mesti dielakkan.

Rampasan kuasa yang berlaku di Perak menimbulkan ketidakpuasan rakyat. Rakyat memilih Pakatan Rakyat dan Pakatan Rakyat mewujudkan satu dasar dan langkah-langkah yang bersih, cekap dan amanah.

Apabila rampasan kuasa terjadi, rakyat kembali duduk di bawah kerajaan BN. Kita mesti selesaikan ketidakadilan itu. Demokrasi berparlimen bermakna kita berdemokrasi secara aman iaitu melalui peti undi.

Dr Zambry tidak dipilih oleh rakyat. Ini bermakna beliau tidak mendapat mandat rakyat yang cukup dan tidak mempunyai pemikiran demokratik. Apabila tidak berfikir secara waras maka fikiran dan kenyataannya itu memang songsang.

Wednesday, April 15, 2009

GURINDAM KATAK PERAK


Lompat Si Katak Lompat

Katak Bota Mula-mula Melompat
Katanya Barisan Celaka, Pakatan Pahala
Tetapi Ia Derhaka, Lompat Semula
Ia Digelar Katak Raja

Lompat Si Katak Lompat
Katak Behrang Raja Temberang
Hilang Seketika Masuk Barisan
Katak ini Katak Hitam
Barisan Beli Rasuahnya Hilang

Lompat Si Katak Lompat
Katak Changkat Jering Juga Melompat
Nak Joli-joli Masuk Barisan
Katak Ini Katak Sial
Tiada Maruah, Tiada Moral

Lompat Si Katak Lompat
Katak Jelapang Akhirnya Melompat
Kerana Wang Masuk Barisan
Katak ini Katak Tempang
Hairan Juga Ia Melompat

Friday, April 10, 2009

SURAT YAB TG NIK AZIZ KEPADA YB NGA KOR MING

13 Rabiul Akhir 1430
9 April 2009

YB Encik Nga Kor Ming
EXCO Kerajaan Negeri Perak
Pejabat EXCO Negeri Perak
30000 IpohPERAK DARUL RIDZUAN.

Menemui YB Encik Nga dengan ucapan salam sejahtera Yang Berhormat, Alhamdulillah, dengan izin Allah, saya telah mengikuti isu di sekitar percubaan YB untuk mengenali Islam melalui pembacaan Ayat-Ayat Al-Quran dengan tekun. Saya juga terharu mendengar keluhan YB yang berbunyi “saya berasa amat kesal apabila masyarakat Tionghua yang cuba mengenali Islam dan Al-Quran melalui kitab berkenaan, tiba-tiba dihalang.

"Saya boleh memahami dan menyelami perasaan kecewa yang sedang melanda hati YB. Mudah-mudahan dengan sikap “tidak mesra Umno” dan pemimpin-pemimpin Umno tentang kecenderungan masyarakat Tionghua dan India yang sihat ini, ia akan meningkatkan lagi kesedaran Non-Islam untuk lebih mengkaji, mendalami dan mengadakan forum serta wacana mengenai Islam dengan cara yang lebih meluas.

Saya mempunyai sebuah impian. Dalam tempoh tidak berapa lama lagi mudah-mudahan akan muncul lebih ramai orang dari kalangan masyarakat Tionghua, India, Siam, Bajau dan Kadazan yang tampil menjadi Qari, Ustaz, Khatib dan Imam di seluruh negara. Kalau Jenghiz Khan yang mengetuai tentera Moghul menyerang dan memusnahkan hampir seluruh Kerajaan dan tamadun Islam di Kota Baghdad, tetapi sempat ditebus semula keagungan Islam melalui cucunya yang bernama Aurangzeb yang menegakkan empayar Islam di India kemudiannya.

Maka saya mempunyai keyakinan yang kuat bahawa Islam akan kembali gemilang di negara kita melalui kaedah dan insiden yang hampir sama. Mudah-mudahan YB lah orangnya yang akan meletakkan batu asas pertama ke arah menyusun batu bata yang kukuh ini untuk terus bertumpang tindih.

Mari kita bina asas ini dengan mengatur langkah-langkah permulaan melalui seminar, muzakarah, muqabalah, dialog dan wacana. Tajuk-tajuk seperti “dimana tak kenanya Islam” atau “apa mesej al-Quran kepada orang bukan Islam” bolehlah difikirkan. Anggota panel boleh terdiri daripada tokoh-tokoh PAS, Umno, DAP, PKR dan pemimpin-pemimpin NGO, pensyarah serta pendakwah bebas. Ia boleh dijadikan sesi kuliah bersiri yang boleh dianjurkan di PWTC, di masjid-masjid, surau-surau, kuil-kuil dewan-dewan perhimpunan, di universiti-universiti, baik di IPTS atau IPTA.

Sekali lagi saya mengucapkan syukur kepada Allah S.W.T di atas kekuatan dan keberanian yang ada pada YB. Terus tekun dan beristiqamahlah dalam mengharungi ujian-ujian ini. Insya Allah saya seakan-akan sedang melihat sekerdip lilin yang bercahaya di hujung sana. Marilah kita sama-sama ke sana.

* MEMBANGUN BERSAMA ISLAM *

TUAN GURU DATO’ HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT)
Menteri Besar Kelantan
Merangkap
Mursyidul Am PAS

TERIMA KASIH WAHAI TG DI ATAS NASIHATMU ITU

Ada orang kata perjuangan nih penuh ranjau. Aku tak nafikan. Ada orang kata perjuangan nih penuh dengan air mata. Aku tak nafikan. Ada orang kata berjuang ertinya menderita. Aku tak nafikan. Ada orang kata yang merosakkan jemaah adalah kejahatan kejahatan dalaman yang bersembunyi di dalam jemaah itu sendiri. Ini pun aku tak nafikan.

Buat semua sahabat yang tak putus putus menelefon untuk memberikan kata kata semangat dan perangsang, aku cuma mampu ucapkan jutaan terima kasih. Semoga Allah swt menganugerahkan syurga kepada anda semua. Buat pimpinan jemaah yang sering menasihati aku sejak 10 tahun lalu, juga jutaan terima kasih untuk tuan tuan.

Aku tak akan jatuh di sini. Aku tak akan mengalah dengan cabaran dan dugaan ini. Marang akan menjadi saksi betapa aku akan bersuara sepuasnya setelah bertahun tahun aku mengambil pendekatan tunggu dan lihat di atas semua fitnah itu.

Selidikilah dahulu sebelum berbicara. Jangan hanya bercakap atas apa yang didengari oleh telinga. Jangan membuat kesimpulan di atas andaian sahaja.

Buat TG, terima kasih. Semoga Allah swt panjangkan umur TG untuk terus membimbing rakyat dan jemaah ini. Tempoh 10 tahun menadah nasihat daripada TG bukanlah suatu tempoh yang singkat. Halalkanlah semua nasihat nasihat yang terkumpul sepanjang 10 tahun ini. Aku ikrar dan janji wahai TG, aku tidak akan mengalah kepada suara suara sumbang itu.

POHON MAAF DARI SEMUA SAHABAT

Salam.....

Maaf sebab tak sempat nak buat laporan tentang peperangan di Bukit Gantang. InsyaAllah sekarang nih aku tengah edit semua gambar yang ada. Aku akan cuba masukkan secepat mungkin.

Buat rakan rakan yang sering telefon, terima kasih di atas kata kata semangat dari kalian di saat saat sukar macam nih. Aku bersyukur kerana dikurniakan sahabat macam korang semua.

Aku kat terengganu nih. Ada urusan sikit.