Tuesday, March 10, 2009

WAWANCARA DATO’ DR HASSAN AHMAD SELEPAS HIMPUNAN BANTAH PPSMI



"Kami semua baik-baik. Dipancut air atau gas kami tidak melawan. Itulah kerana hendak mempertahankan bahasa kebangsaan."

Pelbagai soalan timbul selepas memorandum membantah PPSMI dihantar ke Istana Negara. Demonstrasi lebih 100,000 orang telah mengejutkan Perdana Menteri. Seperti lazimnya polis menggunakan hujah, perhimpunan tersebut tidak mengikut kehendak permit, melanggar peraturan sehingga membawa kekecohan sebagai alasan untuk memburuk-burukkan perhimpunan aman.

Bagaimanapun himpunan tersebut membawa satu kejayaan kepada rakyat khususnya kepada orang Melayu dalam memperjuangkan hak untuk mengembalikan pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Melayu. Namun 1001 cabaran berada di depan.

Ikuti transkripsi penuh sidang media yang Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) yang diwakili Pengerusinya, Dato' Dr Hassan Ahmad yang diadakan di rumah Pena pada 9 Mac lalu. Wartawan Harakah, Nyza Ayob mengikutinya dari dekat.

Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak media kerana sudi hadir pada sidang akhbar ini. Saya ingin memberitahu tentang hasil usaha serta ikhtiar kami untuk memberitahu kerajaan tentang megnapa PPSMI ini patut dimansuhkan. Pertama, kami ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi kerana dalam kenyataannya di akhbar semalam (8 Mac) menunjukkan reaksi positif dan agak baik. Beliau berjanji akan membawa isu ini pada Persidangan Umno akan datang supaya masalah PPSMI ini diselesaikan segera dan sebaik-baiknya sebelum timbul isu-isu lain yang lebih buruk.

Dalam mesyuarat kami sebelum sidang media ini, kami bercadang untuk mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri untuk menjelaskan lagi pendirian kami bahawa GMP adalah satu gerakan aman. Usaha kami hanya meminta kerajaan kembali kepada dasar lama yang kami anggap adalah dasar yang sangat baik dan tidak pernah menimbulkan masalah besar. Dasar lama itu adalah pengajaran dan pembelajaran matematik dan sains hendaklah dikembalikan dasarnya kepada bahasa kebangsaan di sekolah kebangsaan dan kepada bahasa ibunda iaitu bahasa Mandarin dan Tamil di sekolah jenis kebangsaan.

Itu sahaja tujuan kami. Tidak lebih dan tidak kurang. Dan kami anggap ini adalah untuk kepentingan semua kaum termasuklah ibu bapa dan guru-guru. Dan kami tidak mahu bahasa kebangsaan menjadi bahasa pinggiran dan hanya menjadi bahasa kebangsaan daripada segi simbolik sahaja tetapi tidak mempunyai nilai ilmu dan pembangunan. Kita tidak mahu perkara tersebut berlaku.

Jadi kesannya buruk sekiranya pelajar Melayu tidak boleh lagi menuntut ilmu khususnya dalam bidang sains yang merangkumi kira-kira 89 bidang sains. Jika ia tidak lagi diajar dalam bahasa kebangsaan, kita tidak akan menjadi bangsa yang mengetahui ilmu kedoktoran dan kejuruteraan. Dan kita tidak boleh lagi menjadi bangsa Melayu yang boleh menjadi ahli kimia yang boleh berbahas, menulis buku dan berbincang dalam bahasa sendiri mengenai ilmu-ilmu ini. Itulah kesan buruknya yang diharap dapat dicegah sekarang ini.

Ada juga sesetengah pihak yang menyatakan mengapa sekarang GMP membantah. Sebenarnya bukan GMP sahaja. Banyak lagi pihak-pihak lain yang 'bising' dan mendesak sejak 2003 agar PPSMI dimansuhkan. Bukan baru sekarang. Dan kerajaan pula memberitahu, tunggulah sehingga lapan tahun. Buat apa kita hendak tunggu sehingga lapan tahun. Ia akan menimbulkan banyak masalah lain seperti untuk menggantikan buku-buku teks. Ini bukan desakan baru selepas enam tahun.

Malah sebelum 2003 juga pelbagai seminar, kongres serta forum meminta supaya bahasa kebangsaan dan dasar bahasa kebangsaan itu dilaksanakan dengan tegas dan sebaik-baiknya. Selain itu, kami juga selalu tegaskan dan jangan ada yang menyangkan GMP ini menentang bahasa Inggeris. Malah kita mahu pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris di sekolah- sekolah dipertingkatkan kaedah pengajarannnya. Ia harus diperbaiki supaya pelajar-pelajar kita terutama di sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan di luar bandar dapat menguasai bahasa ini dengan baik setelah dijadikan mata pelajaran wajib di sekolah selama 11 tahun.

Jika kaedahnya baik, pelajar masih tidak dapat bercakap atau menggunakan bahasa dengan baik dan lancar, tentu ada kesilapan pada sistemnya. Tidak boleh kita mengatakan pelajar lembap atau tidak suka bahasa Inggeris. Dan pelajar-pelajar Melayu dalam subjek bahasa Melayu juga ada yang lemah malah dalam peperiksaan ada yang gagal. Dalam keputusan peperiksaan 2004 dan 2005, 40,000 lebih pelajar Melayu yang lemah bahasa kebangsaannya. Ini masalah yang harus diselesaikan bukan pengajaran dan pembelajaran matematik dan sains dalam bahasa Inggeris.

Sebelum 2003, saya sering bertanya kepada pihak yang menjaga sistem pendidikan negara ini. Saya bertanya, cuba sebutkan dua atau tiga sebab mengapa dasar lama yang telah baik itu diubah. Kalau tidak boleh sebut tiga, sebut satu ajelah. Apakah ia dapat memudaratkan bangsa kita dan apakah bangsa kita tidak boleh maju jika tidak belajar matematik dan sains dalam bahasa Inggeris? Dan apakah ia menyebabkan pelajar kita tidak pandai matematik dan sains jika diajar dalam bahasa ibunda atau kebangsaan? Adakah contohnya?

Kita bukan anti bahasa Inggeris. Malah kerajaan menjadikan bahasa Inggeris pelajaran wajib sejak merdeka. Umno sendiri waktu itu semangat kebangsaan kuat sebelum merdeka. Tetapi mereka menerima keputusan kerajaan Perikatan supaya bahasa Inggeris dikekalkan dalam sistem pendidikan kebangsaan sebagai bahasa wajib diajar di semua sekolah. Saya anggap dasar yang sedia ada paling baik dalam negara kita yang pelbagai kaum ini. Kenapa hendak dihapus dan dimusnah.

Seterusnya ada pihak yang mengatakan jika dilihat pada situasi 7 Mac, GMP sudah jadi gerakan politik dan sudah diambil alih orang politik tidak kira daripada parti mana. Kami tidak tahu pun tentang hal ini. Kami hanya tahu GMP hanya berusaha untuk meminta kerajaan mengembalikan dasar lama. Itu dasar kami. Jika beratus-ratus ribu malah berjuta orang hendak menyokong, apa kami boleh buat. Sama ada daripada PAS, KeADILan atau Umno serta DAP, kami tidak boleh tolak.

Apa niat mereka, apa agenda mereka, kita tidak tahu. Kami tidak boleh tanya, contohnya kepada Dato Seri Abdul Hadi Awang "Dato' ni menyokong kami untuk tujuan apa? Untuk agenda PAS ke?" Saya tidak boleh tanya begitu nanti dia kata saya kurang ajar pula. Isu ini merentas perkauman. Sebab tidak ada orang lain hendak buat, jadi GMP yang buat. Ia tidak berdosa. Kita bukan menentang kerajaan. Kita bukan parti terrorist. Kami semua baik-baik. Dipancut air atau gas kami tidak melawan. Itulah kerana hendak mempertahankan bahasa kebangsaan.

Dato' A. Samad Said kena gas. Saya tidak kena sebab polis suruh saya naik kereta. Saya pergi sebab saya hendak menyampaikan memorandum kepada raja. Orang sudah menunggu dekat situ.

Jika orang tu tidak ada dekat situ saya bagi dekat kuda yang jaga pintu. Tapi kuda tidak ada waktu itu. Tapi Alhamdulillah sampai juga hajat kami hendak menyampaikan memorandum tersebut. Saya dengan Dato' A. Samad Said. Sepatutnya tujuh orang yang menyampaikan memorandum sebagaimana ditanda tangan di memorandum tersebut. Yang lain menyertai perarakan. Berarak itu bukan kehendak kita. Bukan kehendak GMP dan bukan kehendak polis.

Saya berjumpa dengan pihak polis dan polis menyatakan bolehlah pihak GMP berhimpun di Masjid Negara tetapi tidak boleh berarak. Orang hendak datang beramai-ramai juga kita tidak boleh sekat. Kami juga harus memberitahu di sini pihak polis sangat baik dengan kami. Sebab mungkin dia tengok muka kami ini tidak garang. Jangan tanya kenapa budak-budak muda itu berarak. Asal dengan aman dan jangan bertumbuk dengan polis. Mereka juga hendak menjalankan tugas mereka kerana mendapat arahan pihak atasan. Kami mempunyai prinsip. Prinsip itulah yang ingin kami pertahankan.

Begitu juga dengan orang Kementerian Pelajaran. Dia juga mempunyai prinsipnya yang hendak dipertahankan. Ini masalahnya. Dan jangan kata kami diperalatkan. Daripada sudut hati sanubari saya, kita suruh orang politik sokong kita dan peralatkan kita. Ikhlas saya cakap, isu politik tidak ada langsung. Kalau tidak buat apa kita minta kerajaan mansuhkan. Kita biarkan sahaja. Tetapi kerana memikirkan mudaratnya kerosakan yang boleh berlaku pada alat pemikiran dan tamadun serta budaya kita iaitu bahasa yang termusnah. Jadi yang berlaku semalam bukan lah wayang kulit. Tidak ada dalang. Biasa dalang ini menyorok di balik tabir. Jika nampak bukan dalang tapi penyokong.

Saya tidak mahu saya dikatakan boneka. Menghina. Saya bukan boneka. Saya ada akal dan ilmu. Saya ada perasaan dan jiwa. Saya makhluk Tuhan. Sama juga anda semua. Saya bukan monyet dan beruk. Ini saya tidak mahu orang kata ada dalang di belakang kami. Itu yang dapat saya katakan. Saya juga menghargai para penyokong yang datang daripada segenap kaum. Ada juga NGO Cina dan Tamil datang menyerahkan sokongan mereka untuk dilampirkan dalam memorandum yang hendak dihantar oleh kami. Oleh kerana kelam kabut berlaku, mereka tidak dapat hantar kepada saya yang telah ada di Istana Negara untuk disertakan bersama memorandum GMP. Kita dapat juga menyampaikan memorandum kepada pihak Istana. Itu sahaja matlamat kami.

Saya perlu ingatkan balik saya menghargai layanan pihak polis di Istana dan di Masjid Negara. Keluar gambar dalam Utusan Malaysia saya seperti hendak bergaduh dengan polis. Bukan bergaduh. Kita berunding. Jika tidak baik sudah bergaduh. Salah seorang yang ditangkap itu, boleh saya cerita kenapa dia ditangkap?(Sambil bertanya kepada beberapa orang anggota GMP yang turut serta dalam sidang media itu dan diiyakan) Dia itu ditangkap kerana semangatnya lebih. Dia bertengkar-tengkar dan kena tangkap. Agaknya kalau saya maki polis, saya kena tangkap juga. Tapi kita sudah bagitahu awal-awal jangan menyusahkan ikhtiar GMP.

Anda ingin datang menyokong, Alhamdulillah. Datanglah sokong beramai-ramai. Tetapi jangan buat gangguan. Jika ada pihak ketiga hendak buat gangguan, itu hal dia. Asalkan jangan ada penyokong dan pihak GMP buat gangguan. Kita tidak mahu seperti itu. Nanti orang kata kita jahat. Kerajaan kata kita buat kacau. Apa yang berlaku semalam tidak membayangkan GMP ini satu gerakan yang ganas. Tidak. Dan kami masih sanggup berjumpa dengan anda sekalian (media). Jika tidak kami sudah menyorok bimbang jika Pengerusi GMP dipanggil polis. Panggillah. Kami bersedia memberi penerangan kepada sahabat dan sebagai warganegara Malaysia. Kita tidak mahu bergaduh.


Wartawan: Dato', bilakah dijangka pertemuan GMP dengan Dato' Seri Abdullah?

Dato' Hassan Ahmad: Secepat mungkin. Dijangka dalam masa seminggu dari sekarang.

Wartawan: Pertemuan tersebut sebelum Perhimpunan Agung Umno?

Dato' Hassan Ahmad: Ya, sebelum.

Wartawan- Sekarang ini digembar gembur pembangkang terlibat dalam perhimpunan tersebut.

Dato' Hassan Ahmad- Apa nak buat. Dia hendak sokong. Umno pun kalau hendak sokong boleh juga. Datanglah beramai-ramai. Kita tidak boleh mengatakan Umno jangan masuk campur, ini urusan PAS, bukan urusan GMP. Ini yang kita tidak mahu dapat kesan itu.

Wartawan:Adakah orang Umno tidak ada dalam perhimpunan itu?

Dato' Hassan Ahmad:Orang Umno pun ada. Yang tidak hadir tapi sokong pun ramai. Merata-rata di Malaysia. Orang kuat-kuat pun ada.

Wartawan-Mereka bagi sokongan bagaimana?

Dato' Hassan Ahmad:Ada yang telifon, hantar mesej pun ada. Soal sama ada orang hendak bantah atau sokong, lain. Kita hendakkan isu itu. Prinsip bahawa matematik dan sains harus diajar dalam bahasa kebangsaan negara Malaysia bukan negara lain.

Wartawan: Dato' Hishamuddin mengatakan ada pilihan sama ada tidak membatalkan sepenuhnya PPSMI ini.

Dato' Hassan Ahmad: Ikut dialah. Kami punya matlamat supaya dasar lama itu dikembalikan. Maknanya mengajar sains dan matematik daripada sekolah rendah sehingga sekolah menengah sehingga ke IPT. Ada ke sesiapa boleh bagitahu kita bahasa kebangsaan ini tidak layak untuk mengajar matematik dan sains?

Siapa boleh bagitahu saya boleh bagi hadiah. Jawapan yang betul-betul munasabah yang boleh diterima oleh umat dunia yang mengatakan bahasa Melayu atau bahasa Mandarin atau bahasa Tamil tidak layak jadi bahasa ilmu? Kalau ada bukti, esok kita bubarkan GMP. Jangan ingat kita ini orang tidak siuman. Berbalik pada asal. Sebab yang asal tidak ada masalah. Kalau ada masalah setelah 37 tahun dilaksanakan, sudah mantap dan begitu sebati dalam budaya rakyat Malaysia ini, ia ditarik balik.

Wartawan: Jika bahasa Inggeris dikekalkan dalam pengajaran kedua-dua subjek itu, apakah tindakan GMP?

Dato' Hassan Ahmad- Rasanya soalan itu tidak adil dan tidak patut ditujukan kepada GMP. Soalan itu sepatutnya ditanya kepada wakil rakyat, parti Umno yang dahulu menubuh dan menggubal Dasar Pelajaran Kebangsaan yang ada sebelum 2003. Tanya mereka lah. Saya tidak mempunyai kuasa.

Kalau saya ada kuasa bolehlah saya jawab. Cuma ada kuasa suara lah sikit. Kena tanya pihak BN, Perikatan waktu dulu. Kamu yang gubal dan kamu yang hapuskan. Ada masalah ke? Saya pernah sebut dalam satu sidang akhbar dahulu. UKM, yang gunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama selama 30 tahun lebih sejak 1970 telah menghasilkan lebih 2000 tesis sarjana sains dan matematik. Dan lebih 400 thesis PHD juga ditulis dalam bahasa kebangsaan tentang bidang matematik dan sains.

Jika tulis tesis tentulah 'original' dan bukan 'copy' atau terjemah dari bahasa Inggeris. Dia mestilah menyelidik dalam bahasa kebangsaan. Jadi thesis itu dalam bahasa kebangsaan. Itu hanya UKM tidak termasuk universiti lain. Jika boleh tulis thesis dalam bahasa Melayu, kenapa kamu matikan tengah jalan? Hendak kata dia penjajah marah pula. Atau boleh jadi kita hendak ikut penjajah British yang ajar bahasa Melayu ilmu kesihatan hanya di peringkat rendah sahaja. Jadi, kalau kerajaan hendak balik ke sana, balik kepada asallah sebelum merdeka dahulu.

Buat apa kita merdeka? Saya tidak hendak cakap politik. Kalau saya cakap politik banyak pula ceritanya. Para pemimpin kita harus memimpin rakyat Malaysia berdasarkan tamadun kita bukan tamadun orang lain. Tamadun salinan, tamadun salinan. Maka kita tidak jadi bangsa yang kreatif dan inovatif serta mencipta sesuatu yang baru melainkan terjemah sahaja.

Wartawan- Jadi, GMP tidak akan berhenti mendesak kerajaan hentikan PPSMI ini?

Dato' Hassan Ahmad- Hendak berhenti buat apa. Sampai berjayalah.

Wartawan- Adakah GMP jemput Dong Jong Zhong menyertai pergerakan GMP ini?

Dato' Hassan Ahmad- Kita sudah jemput. Mereka dah setuju. Tapi beberapa NGO Cina tidak berapa setuju dengan DJZ ini. Mereka bantah dan tidak setuju kenapa Dong Zhong buat macam ini. Orang ingat GMP ini hendak desak kerajaan adakan satu aliran bahasa dalam sistem pendidikan kita. Kita mudah. Berbalik pada asal. Tetapi jika kerajaan hendak buat satu aliran bahasa, itu terserah. Itu dasar lain. Kita hanya hendak balik pada asal.

Salahkah? Tidak ada yang salah. Kita mesti berterus terang dan tidak ada yang hendak disorok. Ia hendaklah berdasarkan otak. Jangan prasangka sahaja. Mengatakan GMP jahat, anti kerajaan. Itu kata dia bukan saya cakap. 'Make it simple. the whole world is complicated'. Saya cakap bahasa Inggeris sebab saya tahu bahasa Inggeris. Jangan ingat saya tidak tahu bahasa Inggeris. 'I think I can speak better than most of the ministers.' Tidak ada 'gramatical mistake'.

Bukan tulis surat tapi kertas kerja. Macam profesor kita yang ada ini (sambil menunjukkan kepada beberapa orang AJK GMP). Kenapa tidak mahu menjadikan mereka ini contoh. Pertahankanlah benda yang betul. Tidak jadi isu lah. Seperti PM kata, selesaikan PPSMI ini sebelum timbul isu-isu yang lebih berat. Apa maksudnya kita belum tahu lagi tetapi kita jumpa. Hendak berkawan dan hendak berbaik-baik dengan dia. Setahun dahulu kita pernah jumpa. PM kata akan kembali pada dasar asal. Prof. Emeritus Dato' Abu Bakar Abdul Hamid telah jumpa dia. Siapa kata baru sekarang? Ini orang tidurlah. Dahulu kata 'experimental project' PPSMI ini. Sekarang sudah jadi dasar pula.

Wartawan: Jadi tuduhan GMP anti kerajaan tidak benarlah?

Dato' Hassan Ahmad: Tidak. Saya pernah cakap dengan Dato' Seri Hishamuddin sewaktu menyampaikan memorandum di Parlimen. Ramai orang dengar. Saya cakap 'ini kita bukan hendak bergaduh ye' 'Tidak. Kita tidak bergaduh. Kita berkawan'. Berpeluklah sikit.

Wartawan:Dato', anggaran penyertaan dalam perhimpunan tersebut?

Dato' Hassan Ahmad:Dianggarkan oleh ahli matematik kita, seorang jurutera , 70,000 orang ada di Kuala Lumpur. Bukan 2000 atau 5000.

No comments:

Post a Comment