Wednesday, March 4, 2009

PESANAN BUAT RAKAN SEPERJUANGAN

Alhamdulillah, kita panjatkan rasa syukur kepada Allah swt yang masih memberikan kita ruang untuk menambahkan bekalan amal dan pahala bagi memudahkan perjalanan kita untuk ke syurga-Nya. Kita mohon kepada Allah swt semoga perjalanan hidup kita ini tidak menjerumuskan kita ke dalam neraka-Nya.

Wahai sahabat, perjuangan ini bukanlah suatu kegiatan mengisi masa lapang. Perjuangan ini juga bukanlah suatu aktiviti bersifat suka-suka. Suka buat, buat. Suka tak buat, tak buat. Janganlah dicemari perjuangan ini dengan sikap sedemikian.

Perjuangan ini ibarat kain putih yang diamanahkan kepada kita. Kitalah yang akan mencorakkan kain putih ini sama ada menjadi pakaian ahli syurga ataupun menjadi pakaian ahli neraka. Doakanlah semoga kita layak ke syurga atas perjuangan ini. Doa-doakanlah supaya perjuangan ini tidak menghumbankan kita ke neraka.

Wahai sahabat, tahniah kerana anda merupakan pimpinan dalam barisan para pejuang yang mewarnai perjuangan ini. Hargailah daya pemikiran yang dikurniakan Allah swt kepada anda supaya daya pemikiran itu memberikan kebaikan kepada perjuangan. Doa-doakanlah supaya daya pemikiran itu tidak memperkudakan perjuangan ini untuk kekenyangan tembolok dan perut anda.

Renung-renungkanlah dan insafkanlah diri ini tentang keperitan para pejuang yang membarisi perjuangan ini. Tidak ada lain yang kami harapkan selain daripada dikurniakan seorang pimpinan yang mampu membawa kami ke syurga. Doa-doakanlah semoga anda bukanlah pimpinan yang membawa barisan perjuangan ini ke neraka.

Wahai sahabat, syukurlah kerana kita masih teguh berdiri di barisan perjuangan ini walaupun kita tidak memegang apa-apa jawatan. Syukurlah kerana tanpa jawatan itu maka kuranglah sedikit soal jawab kita di Mahsyar nanti.

Tanyalah kepada diri kita wahai sahabat. Adaklah kita taati pimpinan perjuangan ini? Adakah kita ikhlas dalam berjuang? Atau adakah kita menjadikan perjuangan ini ruang untuk menyusun agenda sendiri demi memenuhi tuntutan tembolok dan perut sendiri?

Adakah kita memang berkorban untuk perjuangan ini atau kita hanya kelihatan seperti berkorban tetapi hakikatnya kita tidak melakukan apa-apa pun? Adakah kita benar-benar menjiwai perjuangan ini atau adakah kita sekadar suka-suka kerana kita meluat dan menyampah dengan pihak yang di sebelah sana?

Wahai sahabat, perjuangan ini bukan main-main. Kita bermati-matian berjuang untuk mencapai kemenangan ini. Berdoalah agar kemenangan yang sedikit ini tidak menjadikan kita pejuang yang gilakan kemenangan sehinggakan kita bertungkus-lumus menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah swt kepada kita.

Janganlah kemenangan yang sedikit ini menjadikan kita lupa tentang tanggungjawab dakwah yang terpikul di bahu setiap Muslim. Ya Allah, janganlah Engkau jadikan kami para pejuang yang mementingkan ghanimah perjuangan berbanding syurga-Mu.

Perjuangan ini adalah medan dakwah yang terbentang luas. Tunaikanlah tanggungjawab kita menyemai benih-benih iman di atasnya. Janganlah medan luas ini dijadikan medan pertempuran di antara kita. Jangan sia-siakan medan ini. Jangan cemari medan ini dengan nanah dan darah saudara kita sendiri. Janganlah kotori kesucian medan ini dengan nanah dan darah sesiapa juga.

Wahai sahabat, perjuangan ini bukanlah medan untuk kita beradu kekuatan. Medan ini adalah ruang untuk kita memilih untuk ke syurga atau ke neraka. Ibarat pesan Tok Guru Nik Aziz, hanya ada dua perkara dalam diri seorang Muslim. Syurga atau neraka. Dosa atau pahala.

Tepuk dada, tanya iman. Hiduplah sebagai seorang yang mulia. Berdoalah semoga kematian kita berdarjah syahid.

Wahai sahabat, jangan lupa pesanan ini kerana……kiamat sudah dekat.

No comments:

Post a Comment