Monday, March 2, 2009

UCAPAN PENUTUP SEMINAR NUQABA – UST MOHD NAZIR BIN ZAKARIA

Pembukaan………

Marilah sama sama kita memanjatkan rasa syukur tidak terhingga kepada Allah swt kerana Dia yakni Allah swt masih memberikan kita kesempatan untuk bersama-sama berada di dalam jemaah ini.

Ada di kalangan saudara-saudara kita yang memilih untuk menjauhkan diri daripada jemaah ini setelah menerima pelbagai tekanan. Ada juga yang memilih untuk berjuang di luar daripada jemaah ini. Ada juga yang memilih untuk terus berada di dalam jemaah ini tetapi mengambil pendekatan berdiam diri sahaja.

Sesungguhnya berbahagialah orang-orang yang masih beristiqamah dengan jemaah ini walau ditekan dan dibeban dengan pelbagai halangan dan sekatan.

Ikhwan sekalian,

Tujuan kita berhimpun pada hari ini bukanlah untuk mendabik dada dan melaungkan bahawa kita telah menang. Tujuan kita adalah untuk mencari jalan bagaimana untuk memantapkan gerak kerja jemaah ini supaya cabaran mendatang tidak mampu meruntuhkan iman kita.

Amatlah susah untuk mencapai kemenangan. Namun, adalah lebih sukar lagi untuk mempertahankan kemenangan yang dicapai. Apakan daya, manusia hanya merancang dan menyusun gerak kerja tetapi yang memberikan kejayaan itu adalah Allah swt jua.

Sebagai sebuah jemaah Islam, tidak dapat tidak, kita wajib mempastikan apa sahaja yang kita lakukan di dalam hidup seharian kita, mencerminkan keindahan Islam. Bermula daripada percampuran kita dengan ahli masyarakat sehinggalah ketika kita berada di atas tikar sembahyang menghadap Allah swt.

Keindahan iman ini hanya akan dapat dicapai sekiranya jiwa kita dididik dengan akidah dan keyakinan atas Islam yang suci ini. Jiwa Islam yang mantap ini hanya akan dapat diperolehi dengan adanya asuhan atau tarbiyyah yang terancang dan jujur.

Tarbiyyah ini bukanlah bererti menadah kitab sana sini. Tarbiyyah ini bukanlah bererti berserban dan berjubah. Tarbiyyah ini bukanlah sekadar menyimpan janggut ataupun berkopiah. Tarbiyyah yang dimaksudkan ini adalah terlalu luas tafsirannya.

Sekiranya kita berjaya mendidik jiwa kita untuk memahami ajaran Islam seperti mana yang diwariskan oleh rasulullah saw kepada kita, insyaAllah kita dengan sendirinya akan jatuh cinta dengan kuliah kuliah ilmu dan semua sunnah Rasulullah saw.

Malangnya, ada di kalangan kita yang berserban dan berjubah tetapi hakikatnya jauh daripada sunnah Rasulullah saw. Kita menyimpan janggut sebagai tanda kita mencintai sunnah Rasulullah saw tetapi tingkah laku kita tidaklah sesopan dan selembut Rasulullah saw. Inilah kelemahan yang perlu kita baiki kerana ahli jemaah Islam adalah juga merupakan pada da’ie untuk membentuk dan mendidik masyarakat.

Tugasan dan tanggungjawab sebagai ahli sebuah jemaah Islam bukanlah setakat bertakbir Allahu Akbar tetapi adalah lebih kepada menegakkan kalimah Allahu Akbar itu sendiri. Falsafah dan tuntutan kalimah Allahu Akbar itu haruslah difahami sedalam-dalamnya supaya Islam itu hidup di dalam diri kita dan kita berdiri dan bekerja sebagai cermin kepada keindahan Islam.

Tugas dakwah bukanlah suatu tugas yang mudah semudah kita menyebut kalimah tarbiyyah. Tugasan dakwah ini adalah sangat berat dan hanya individu-individu pilihan sahaja yang mampu menggalasnya.

Tugasan ini bukanlah suatu kedudukan yang patut dibanggakan tetapi merupakan suatu amanah besar yang wajib ditunaikan. Janganlah kita menganggap diri kita ini sebagai serba tahu hanya sanya kerana kita seorang naqib tetapi jagalah adab dan tingkah laku supaya kita tidak menjadi naqib yang khianat kepada amanah dakwah ini.

Janganlah kita berasa “besar” dengan gelaran naqib kerana tidak ada apa istimewanya dengan gelaran itu melainkan membuatkan kita memikul tanggungjawab dakwah melebihi orang lain.

Janganlah kita sombong dengan saudara-saudara kita yang baru merangkak mencari ilmu kerana tugas atau tanggungjawab kita adalah membimbing mereka. Janganlah kita menjadi golongan yang tidak boleh ditegur hanya sanya kerana kita seorang naqib. Janganlah kita menjadi individu yang sukar untuk mengaku kelemahan diri kita sendiri hanya sanya kita seorang naqib.

Tunjuklah contoh yang baik kepada saudara-saudara kita di luar sana supaya jiwa mereka menjadi jiwa Islam yang tulen dan jujur. Ahli jemaah ini yang berada di luar sana akan menjadi bersopan dan beradab sekiranya kita menunjukkan contoh sopan dan beradab itu.

Janganlah kita menuntut saudara-saudara kita di luar sana untuk mempunyai jiwa Islam jika sekiranya kita sendiri gagal untuk menerapkan jiwa Islam itu di dalam diri kita.

Sesungguhnya dakwah secara bil hal adalah jauh lebih berkesan berbanding bil maqal.

Janganlah kita menuntut saudara-saudara kita di luar sana untuk berkorban untuk perjuangan dan jemaah ini sekiranya kita sendiri pun liat untuk berkorban. Jauhilah sifat munafik sebegini daripada menghuni hati-hati dan jiwa kita.

Rasulullah saw merupakan pimpinan hebat yang akan turut sama melakukan sesuatu tanggungjawab itu bersama-sama dengan sahabat baginda. Oleh itu, contohilah keperibadian Rasulullah saw ini. Janganlah kita menjadi naqib-naqib yang hanya memberikan arahan tetapi juga laksanakanlah arahan tersebut kerana yang dipandang oleh Allah swt hanyalah orang yang paling bertaqwa dan bukannya orang yang paling tinggi kedudukannya.

Janganlah kita tertipu dengan gelaran dunia kerana tertipu dengan gelaran dunia hanya akan menyebabkan kita dihumbankan ke neraka Allah swt.

Tuntutlah ilmu walaupun kita seorang naqib kerana ilmu yang dikurniakan Allah swt kepada manusia adalah sangat luas. Janganlah kita menjadi naqib yang “berasa cukup” dengan ilmu yang ada di dada. Manfaatkanlah segala ruang ilmu yang ada untuk mempromosikan Islam. Janganlah kita menjadi naqib yang menggunakan Islam untuk mempromosikan diri kita sendiri.

Sesungguhnya kesempurnaan itu hanyalah milik Allah sawt dan manusia itu mempunyai kelemahan.

Sebagai naqib, raikanlah kelemahan saudara-saudara kita di luar sana. Janganlah kita memandang rendah kepada sesiapa pun hatta seorang muallaf sekali pun kerana sikap sedemikian akan membuatkan kita hilang cinta kepada ilmu. Hilang cinta kepada ilmu bererti hilang cinta kepada Islam kerana Islam itu sendiri bererti ilmu yang menerangi kehidupan manusia di dunia dan di akhirat.

Ikhwan sekalian,

Pulanglah ke kawasan dan cawangan masing-masing sebagai seorang da’ie. Janganlah anda semua pulang sebagai seorang pegawai untuk menemui orang bawahannya. Rancanglah dengan sebaik mungkin segala gerak kerja yang ingin dilakukan. Kebenaran yang gagal disertai dengan perancangan yang tersusun akan menemui kekalahan jika berhadapan dengan kebatilan yang mempunyai perancangan yang tersusun.

Jauhilah sikap ego dan sombong kerana kedua-duanya itu bukanlah sikap yang patut ada dalam diri seorang muslim.

Wallahu a’lam.

No comments:

Post a Comment